50 pesawah berdepan kerugian RM1 juta akibat serangan ulat gulung daun

50 pesawah berdepan kerugian RM1 juta akibat serangan ulat gulung daun

SEORANG petani menunjukkan ulat gulung daun yang menyerang tanaman padi di Kampung Bendang Pak Yong, Tumpat, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT : Kira-kira 50 pesawah dari tiga buah kampung di Pengkalan Kubor di sini yang mengusahakan 200 hektar padi berdepan kerugian mencecah RM1 juta selepas tamanan itu diserang ulat gulung daun sejak dua minggu lalu.

Memburukkan lagi keadaan, serangan ulat itu semakin menjadi-jadi sekali gus membuatkan rata-rata pesawah dari Kampung Bendang Pak Yong, Naga Ibu dan Kubang Sawa buntu memikirkan nasib yang akan menimpa mereka selepas ini.

 

ULAT gulung daun yang menyerang tanaman padi di Kampung Bendang Pak Yong, Tumpat, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.

Seorang pesawah, Harun Omar, 63, berkata, serangan ulat itu bukan sahaja merencatkan pertumbuhan dan perkembangan malah merosakan padi padi yang sedang bunting itu.

Menurutnya, kehadiran ulat itu dipercayai datang rama-rama bertelur di daun dan kemudian membiak dengan begitu cepat.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu memburukkan lagi situasi apabila ulat itu semakin banyak.

“Pada masa sama, kami turut berdepan dengan masalah tikus yang telah bertindak menyerang padi,” katanya ditemui pemberita di Kampung Bendang Pak Yong di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Nasrudin Harun, memberitahu, berpandukan kepada situasi semasa berkemungkinan besar hasil padi yang diusahakan untuk musim kedua akan merosot sebanyak 30 peratus.

Katanya, mengikut jadual padi itu akan dituai hujung Oktober ini.

“Usaha menyelamat dengan menyembur racun telah dilakukan, namun ia tidak memberikan kesan kerana ulat ini sangat degil.

“Jika ia berterusan, berkemungkinan besar saya akan kehilangan hasil sebanyak RM20,000,” ujarnya.

Ahmad Nasrudin berkata, dia berharap pihak berkenaan dapat turun padang bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pesawah di ketiga-tiga buah kampung itu ketika ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN