47 resort berisiko di Negeri Sembilan perlu mohon kebenaran merancang - Utusan Malaysia

47 resort berisiko di Negeri Sembilan perlu mohon kebenaran merancang

J. ARUL Kumar menunjukkan beberapa gambar resort dan chalet yang dikenal pasti berisiko dan beroperasi tanpa kelulusan Kebenaran Merancang serta tidak mempunyai Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC).-UTUSAN /NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 47 buah resort dan chalet di negeri ini diberi tempoh masa sehingga hujung tahun bagi mengemukakan permohonan kebenaran merancang kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, ia merupakan tempoh akhir proses pemutihan yang dijalankan kerajaan negeri terhadap kesemua resort itu yang dikenal pasti berisiko dan beroperasi tanpa kelulusan kebenaran merancang serta tidak mempunyai Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC). 

Jelas beliau, kesemua 47 buah resort atau chalet yang berisiko itu kebanyakannya dibina di lereng bukit dengan 40 daripadanya berada di daerah Seremban, empat buah di daerah Jelebu dan tiga buah di daerah Rembau.

“Di daerah Seremban sahaja, hanya 12 pengusaha premis memberi maklum balas selepas Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menjemput kesemua 40 buah premis terbabit untuk diberi khidmat nasihat susulan pemakluman pemutihan pembinaan pertama dikeluarkan pada 18 Januari tahun lalu. 

“Di Pantai Hills sahaja terdapat 11 buah premis dan didapati sebanyak tiga buah premis telah mendapat kebenaran merancang tanah, sebuah premis mempunyai kebenaran pembinaan bangunan dan lima lagi tidak mengemukakan apa-apa permohonan. Ini adalah maklum balas pengusaha selepas hampir dua tahun. 

“Bakinya amat mendukacitakan di mana mereka tidak memberi sebarang maklum balas langsung malah tidak ambil peduli berkemungkinan mereka berhadapan dengan beberapa faktor antaranya seperti status tanah,” kata beliau pada sidang akhbar di pejabatnya di Wisma Negeri di sini.

Arul Kumar memaklumkan lagi, sekiranya pengusaha premis gagal mematuhi syarat dalam tempoh masa yang ditetapkan itu, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan oleh PBT dan arahan penutupan premis boleh dikeluarkan.

“Tindakan penguatkuasaan tegas seperti sitaan dan penutupan premis harus dilakukan ke atas resort atau chalet yang beroperasi tanpa kebenaran tersebut bagi memastikan semua tempat penginapan selamat dan bebas daripada sebarang risiko. 

“Ini adalah tanggungjawab kerajaan. Di platform media sosial dilihat pengusaha resort atau chalet masih menawarkan perkhidmatan mereka. 

“Sebagai pelanggan kita tidak tahu apa status premis terbabit jadi bagi mengelakkan sebarang bencana berlaku di kemudian hari, penguatkuasaan terpaksa diambil,” tegasnya.

Dalam tempoh lebih tiga bulan ini, Arul Kumar berkata, semua PBT akan mengeluarkan Notis Permintaan Mengemukakan Kebenaran Merancang kepada semua pengusaha resort atau chalet yang dikenal pasti terbabit.

“Ia terdiri Notis Permintaan Mengemukakan Kebenaran Merancang bagi pelan bangunan, pelan infra serta mematuhi syarat lain yang ditetapkan kepada semua pengusaha tersebut,” jelasnya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN