JOHOR BAHRU: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan 46 kes yang sebelum ini disyaki sebagai virus cacar monyet atau mpox yang telah dikesan di negara ini sebagai negatif.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad sebaliknya berkata, Malaysia masih mengekalkan rekod sembilan kes mpox yang telah dikesan pada akhir tahun lepas.
Menurut beliau, KKM telah melakukan saringan terhadap seramai 5.2 juta pengembara di kesemua pintu masuk antarabangsa negara ini.
“Daripada jumlah 5.2 juta pengembara yang kita saring, kita syak 46 daripadanya menghidap mpox, namun setelah ujian lebih teliti dibuat, kesemuanya negatif.
“Ya, ini satu isu kesihatan awam, tetapi ia berbeza berbanding pandemik Covid-19 sebelum ini yang turut melibatkan ‘lockdown’ dan sebagainya, jangan bimbang tidak akan ada ‘lockdown’ akibat mpox ini,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap di Jalan Dhoby, di sini malam tadi.
Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Norhayati Rusli; Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Mohtar Pungut dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon.
Tambah Dr. Dzulkefly, pihaknya memandang serius penyakit berkenaan dan telah mengambil langkah pencegahan proaktif bagi memastikan ia tidak merebak dalam kalangan rakyat tempatan.
“Kita tidak berlengah-lengah atauapun cuai dalam soal ini, tetapi dalam masa sama kita juga tidak mahu orang digemparkan sehingga yang boleh menggusarkan keadaan.
“Sehubungan itu, kita akan terus melakukan pemantauan tahap kesihatan terhadap pengembara yang memasuki negara ini di kesemua laluan masuk,” jelasnya.
Sementara itu, beliau turut memberitahu prosedur berkenaan tidak akan menjejaskan aliran pergerakan pengembara termasuklah di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini yang merupakan sempadan antarabangsa tersibuk dunia. – UTUSAN