TAMPIN: Sebanyak 40 buah rumah terjejas dalam kejadian rebut di Felda Jelai 2 dan Felda Jelai 4, Gemas di sini petang semalam.
Seorang penduduk, Nor Adnan Said, 48, berkata, ketika kejadian, dia dan isterinya, Siti Zuraidah Mohd Ali, 43, bersama dua anak berada di pekan Gemas bagi membeli barangan keperluan.
“Ketika itu, setitik hujan pun tiada, memang panas, apabila sampai Jelai, tengok keadaan jalan serta tanah seolah-olah hujan terlalu lebat.
“Apabila sampai di rumah, ramai sudah berkumpul di belakang rumah kerana hampir setengah atap rumah saya sudah terlipat.
“Kejadian hujan lebat serta ribut mereka kata dalam tempoh setengah jam sahaja tapi kesannya sangat menakutkan. Banyak kayu palang atap rosak, berkecai kerana kejadian ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Jelasi 2 di sini hari ini.
Bagi seorang lagi mangsa ribut di felda yang sama, Zuraidah Alias, 67, berkata, kejadian rebut itu juga telah merosakkan binaan replika menara yang dibina oleh arwah suaminya.
“Sudah tiga tahun binaan ini, ini kenangan arwah suami saya. Sejak tahun 1980 saya menetap di sini, tidak pernah berlaku kejadian ribut di sini, ini kejadian pertama.
“Beberapa atap rumah saya juga tercabut dan barangan seperti karpet, tilam juga sudah basah serta rosak,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa berkata, sebanyak 30 buah rumah di Felda Jelai 4 serta 10 buah rumah lagi di Felda Jelai 2 telah terjejas dan kesemua ketua keluarga telah disalurkan bantuan tunai awal dari Pejabat Parlimen Tampin.
“Bagi kerja-kerja pembaikan pula sudah dimulakan hari ini dan dalam tempoh kurang seminggu, ia dijangka selesai membabitkan kerosakan atap diterbangkan angin kencang berserta hujan lebat,” katanya.-UTUSAN.