30 pengusaha setuju tawar Set Kombo Menu RM10

30 pengusaha setuju tawar Set Kombo Menu RM10

AB. RAUF Yusoh (dua dari kanan) merasmikan Majlis Pelancaran Set Kombo Menu RM10 dan Pelancaran Kilang Makan di Jalan Tun Ali, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri melancarkan Set Kombo Menu RM10 bagi menambah daya tarikan program Melaka Bila Larut Malam bermula 5 Oktober ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, sebagai permulaan sebanyak 30 pengusaha restoran, kafe dan kedai makan telah bersetuju menyertai program berkenaan.

Beliau berkata, pengusaha wajar merebut peluang itu sebaik mungkin untuk mengolah menu tersendiri pada harga RM10 hanya ketika Melaka Bila Larut Malam.

“Saya menyeru kepada semua pengusaha kedai makan untuk menyahut seruan kerajaan bagi menggalakkan dan merancakkan ekonomi negeri dan sesiapa sahaja boleh memohon untuk menawarkan menu RM10.

“Saya percaya, harga tersebut cukup berpatutan dan tentunya bakal menarik minat lebih ramai pengunjung dan pelancong untuk membanjiri Melaka sewaktu Melaka Bila Larut Malam.

“Saya minta semua pengusaha kedai makan untuk sama-sama menjaga kualiti makanan yang
disediakan di samping mengutamakan aspek kebersihan di kawasan kedai makan masing-masing,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Set Kombo Menu RM10 dan
Pelancaran Kilang Makan di Jalan Tun Ali di sini, malam tadi.

Tambah Ab. Rauf berkata, Kilang Makan merupakan produk pelancongan baharu yang mampu menarik perhatian pengunjung kerana terletak berhampiran Sungai Melaka.

Beliau berkata, kilang yang diusahakan seorang pemuzik, Hailhesfa Mohd. Merry itu mempunyai 20 pengusaha gerai makan dan minuman, beroperasi dari pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.

“Apa yang menarik, konsep di dalam kilang makanan ini adalah pengunjung boleh menikmati pelbagai jenis makanan di bawah satu bumbung sambil santai-santai menikmati pemandangan Sungai Melaka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN