JOHOR BAHRU: Sebanyak 26 buah motosikal yang diletakkan di kawasan parkir di sebuah kilang di Jalan Pekeliling, Pasir Gudang, dekat sini musnah terbakar pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mendapat maklumat tentang kejadian itu pada pukul 9.30 pagi.
Kebakaran motosikal milk pekerja kilang itu telah berjaya dipadamkan dengan bantuan pihak bomba kira-kira pukul 10.30 pagi.
“Kejadian yang berlaku itu tidak mengakibatkan sebarang kemalangan nyawa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Mohd. Sohaimi berkata, kerugian yang dialami pemilik motosikal berkenaan dianggarkan berjumlah RM78,000 dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
“Pihak polis masih menjalankan siasatan jika terdapat sebarang perbuatan khianat atau kebakaran secara tidak sengaja. Terima kasih kepada orang awam yang sentiasa menjadi mata dan telinga dalam memberi maklumat kepada pihak polis,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Anuar Abdullah berkata, kerja pemadaman kebakaran mengambil masa hampir satu jam. – UTUSAN