2,500 peserta berbusana tradisional sertai KSJ24 - Utusan Malaysia

2,500 peserta berbusana tradisional sertai KSJ24

SEBAHAGIAN daripada 2,500 peserta yang memeriahkan program Keretapi Sarong Johor 2024 di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 2,500 peserta memeriahkan program Keretapi Sarong Johor 2024 (KSJ24) yang diadakan di pusat bandar raya ini, pagi tadi.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Dr. Badrul Hisham Kassim berkata, acara tersebut bertujuan mengukuhkan semangat perpaduan antara rakyat berbilang kaum.

Menurutnya, aktiviti utama adalah perarakan sejauh dua kilometer yang bermula di batu tanda 0 kilometer melalui Legaran Sungai Segget dan berakhir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini.

“Acara KSJ24 merupakan platform memperkenalkan budaya tempatan dan memupuk semangat perpaduan rakyat Malaysia. Ia juga memberikan peluang kepada usahawan tempatan memperkenalkan produk dan mengembangkan jenama perniagaan mereka.

“Aktiviti ini selaras dengan program kesenian, warisan dan budaya yang dilaksanakan menerusi Tabung Projek Sosial Iskandar Malaysia. Program ini menyokong inisiatif berasaskan komuniti selain turut menyumbang kepada pengaktifan teras warisan di pusat bandar Johor Bahru,” katanya.

Selain perarakan, KSJ24 turut menyaksikan pelbagai program termasuk aktiviti bacaan ikrar, persembahan kebudayaan seperti gendang Cina, tarian ronggeng, tarian India, tarian Orang Seletar, zapin, tarian Borneo, dikir barat, ghazal dan gamelan.

“Sementara itu di Persada Johor, aktiviti diteruskan dengan program Hab Hab Hooray yang menyaksikan 29 usahawan makanan dan minuman serta 29 usahawan kraf membuka gerai jualan mereka.

“Sebahagian usahawan ini juga merupakan bekas peserta program keusahawan IRDA, iaitu Iskandar Malaysia Youth Entrepreneurship Scheme (IMYES) dan Iskandar Malaysia Business Upskilling for Youth (IMSKILL),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN