21 Pati ditahan cuba ceroboh masuk ke Malaysia - Utusan Malaysia

21 Pati ditahan cuba ceroboh masuk ke Malaysia

KAWASAN pagar sempadan di laluan keselamatan Malaysia-Thailand, Padang Besar, Perlis yang digunakan oleh 21 PATI untuk masuk ke negara ini. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Seramai 21 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan sewaktu rondaan oleh sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di laluan keselamatan Malaysia-Thailand, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, menerusi rondaan sekitar pukul 12.15 tengah malam itu, anggota keselamatan berjaya mengesan dan menahan semua PATI warganegara Myanmar berusia lingkungan 19-49 tahun itu yang cuba menceroboh masuk ke negara ini melalui laluan sempadan.

Beliau berkata, sewaktu pemeriksaan dilakukan, semua PATI teibat gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk memasuki negara ini.

“Semua PATI ditahan itu terdiri daripada 17 lelaki dan empat perempuan warganegara asing yang dipercayai cuba menceroboh masuk ke negara ini melalui pagar keselamatan,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohd. Shokri berkata, siasatan awal dilakukan mendapati salah seorang daripada PATI berusia 24 tahun telah mengaku bertindak sebagai tekong dan pemandu arah bagi kumpulan tersebut.

Katanya, tekong berkenaan dipercayai menerima upah sebanyak RM200 bagi setiap individu yang dibawa dengan arahan daripada seorang ejen dari negara jiran.

“Tujuan utama semua PATI itu dibawa masuk ke Malaysia adalah untuk bekerja di beberapa lokasi berlainan dan semua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambahnya, tekong berkenaan telah direman selaman 28 hari di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bermula hari ini sehingga 8 Oktober depan.

“Manakala baki 20 PATI ditahan reman 14 hari bawah Akta Imigresen 1959/63 bermula hari ini sehingga 24 September,” katanya.

Dalam kes berlainan, Mohd. Shokri berkata, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padang Besar bersama anggota Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis berjaya menahan seorang lelaki tempatan dan tiga PATI menerusi operasi khas di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Padang Besar, pada Isnin lalu.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menerusi operasi pada pukul 7.15 malam itu mendapati ketiga-tiga PATI berusia lingkungan 15 hingga 48 tahun tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“PATI berkenaan yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita itu dipercayai cuba memasuki Malaysia melalui jalan tikus di pagar sempadan Malaysia-Thailand.

“Lelaki warga tempatan berusia 49 tahun pula didapati telah membeli tiket kereta api untuk PATI tersebut bagi perjalanan mereka ke negeri jiran bagi bekerja,” katanya.

Tambahnya, lelaki warga tempatan itu ditahan reman selama 28 hari bermula semalam di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

“Manakala tiga warga asing itu direman selama 14 hari di bawah Akta Imigresen bermula semalam sehingga 23 September ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN