20 tahun berniaga, kali pertama dibadai ribut

20 tahun berniaga, kali pertama dibadai ribut

NASARUDIN Jeon menunjukkan bumbung restoran ikan bakar yang rosak dibadai ribut di Muara Anjung Batu, Jasin, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Sebuah restoran ikan bakar di Muara Anjung Batu, Pulai di sini mengalami kerosakan teruk akibat dibadai ribut dalam kejadian petang, Selasa lalu.

Kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu menyebabkan khemah, bumbung, kerusi dan meja diterbangkan angin kencang manakala pendawaian elektrik turut terjejas.

Pemilik restoran, Nasarudin Jeon, 42, berkata, sewaktu kejadian lima sekeluarga sedang menikmati ikan bakar sebelum tiba-tiba ribut membadai restorannya.

“Menyedari itu adalah angin pertama, saya telah meminta pelanggan masuk ke dalam kedai, bimbang kejadian tidak diingini berlaku. Sebaik pelanggan berpindah tempat ke dalam kedai, baru datang angin ribut paling kuat menyebabkan khemah tempat duduk pelanggan hampir roboh.

“Kerusi dan meja berterbangan, atap kedai rosak serta keadaan ketika itu menjadi kelam kabut.

“Kakak ipar yang sedang masak terbaring di lantai akibat terkena angin ribut itu dan saya serta tiga pekerja berjaya mengangkatnya ke tempat selamat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Tambah Nasarudin, kejadian itu adalah kali pertama dialaminya sejak restoran itu dibuka sejak 20 tahun lalu.

Menurutnya, kerugian dianggarkan mencecah RM30,000 manakala premis terpaksa ditutup selama tiga minggu bagi membaiki kerosakan dialami.

Sementara itu, peniaga asam pedas di hadapan Masjid Jamek Ar-Rahman, Kampung Pulai, Mohd. Razi Hamid, 40, berkata, sewaktu kejadian dia baharu pulang ke rumah selepas berniaga.

Katanya, dia dihubungi rakan peniaga memberitahu gerainya terjejas berikutan dibadai angin kencang.

“Saya terkejut melihat tiga khemah besar roboh dan tidak boleh digunakan manakala bumbung gerai saya tercabut.

“Kerugian yang saya tanggung sekitar RM8,000 sebab tiga khemah besar yang saya sewa dengan pihak masjid tidak boleh digunakan lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN