20 rumah amal diserbu, 171 ditahan eksploitasi kanak-kanak

20 rumah amal diserbu, 171 ditahan kerana eksploitasi agama, kanak-kanak

KEADAAN di dalam salah sebuah rumah amal yang diserbu polis kerana disyaki mengeksploitasi kanak-kanak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis menyerbu 20 rumah amal masing-masing 18 buah di Selangor dan dua di Negeri Sembilan kerana disyaki terlibat dengan pengabaian serta penganiayaan, amang seksual dan juga perbuatan cabul terhadap kanak-kanak berusia antara setahun sehingga 17 tahun.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pada 2 September lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan polis berkaitan dakwaan itu di Port Dickson dan beberapa laporan yang sama turut dibuat di beberapa tempat selepas itu.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat tersebut, PDRM membuka lapan kertas siasatan membabitkan empat di Selangor dan empat di Negeri Sembilan.

Jelasnya, empat kertas siasatan di Negeri Sembilan sudah dirujuk ke pejabat Peguam Negara dan arahan lanjut untuk melengkapkan tiga kertas siasatan manakala satu kertas siasatan telah mendapat arahan pertuduhan di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Siasatan yang dijalankan dibawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12 serta 14 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

“Seramai enam suspek ditahan terlibat dengan kes yang disiasat di Negeri Sembilan yang terdiri daripada lima lelaki dan seorang perempuan. Kesemua suspek direman sehingga 15 September ini. Suspek terdiri daripada ustaz, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian. Kesemua suspek berusia lingkungan 20-an hingga 40-an.

“Hasil maklumat lanjut, PDRM mengesyaki terdapat penglibatan Global Ikhwan Services Business Holdings (GISBH) dalam kegiatan pemerdagangan orang.

“Satu laporan polis dibuat di Shah Alam, Selangor dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) iaitu kesalahan memperdagangkan orang. Jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun, dan boleh juga didenda,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, bermula pukul 6 pagi sehingga 11 pagi hari ini, polis melakukan serbuan terhadap 20 rumah amal masing-masing 18 buah di Selangor dan dua di Negeri Sembilan.

Menurutnya, seramai 171 tangkapan dibuat ke atas semua premis terlibat membabitkan 66 lelaki dan 105 perempuan berusia antara 20-an hingga 40-an terdiri daripada penjaga, ustaz serta pengerusi rumah amal terbabit.

“Hasil serbuan mendedahkan terdapat kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap penghuni terdiri daripada kanak-kanak iaitu seramai 402 mangsa membabitkan 201 lelaki dan 201 perempuan di Selangor dan Negeri Sembilan.

“18 premis di sekitar negeri Selangor melibatkan tujuh daerah, manakala dua lagi premis dikesan di Negeri Sembilan iaitu satu di Nilai dan satu di Seremban,” katanya.

Beliau berkata, modus operandi digunakan, mangsa diajar dan dididik cara-cara meliwat,
dan seterusnya mangsa diliwat pula oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.

“Mangsa yang tidak sihat tidak dibenarkan untuk mendapatkan rawatan di klinik sehingga keadaan kritikal. Mangsa kanak-kanak dan sentimen agama digunakan untuk menagih simpati bagi mendapatkan sumbangan,” katanya.

Menurutnya, siasatan juga mendapati, suspek menggunakan objek yang dipanaskan bagi mencederakan mangsa sebagai hukuman atas kesilapan dilakukan.

“Kegiatan ini turut dikesan menyentuh tubuh badan mangsa dengan alasan melakukan rawatan secara perubatan Islam,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan ‘OP Global’ melibatkan kekuatan seramai 705 pegawai dan anggota PDRM dibantu oleh 287 rakan strategik terdiri daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kimia Malaysia bagi membanteras kegiatan jenayah ini.

“Hala tujuan siasatan OP Global setakat ini menjurus kepada kesalahan di bawah Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611), Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap
Kanak-kanak 2017 (792), Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670), Kanun Keseksaan (Akta 574) dan undang-undang lain yang sedang berkuat
kuasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN