KLUANG: Kerajaan mengisytiharkan 2 Jun sebagai Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara untuk menghargai sumbangan dan kejayaan bidang tersebut dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tujuan Kementerian Pendidikan melancarkan sambutan Hari TVET adalah bagi memperhebatkan program berkenaan di setiap sekolah untuk memastikan semua peringkat pelajar mendapat maklumat dan manfaat serta menjadikannya pilihan utama dalam perjalanan pendidikan mereka.
“Jadi, hari ini kita luncurkan, tahun depan semua sekolah di seluruh negara, tidak terkecuali akan meraikan tarikh itu.
“Ini adalah selaras dengan penegasan yang dibuat oleh Majlis TVET Negara, khususnya hala tuju yang telah ditetapkan melalui pendidikan TVET,” katanya katanya selepas melancarkan Hari TVET Sekolah Peringkat Kebangsaan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana, di sini hari ini.
Katanya, pada 2 Jun tahun depan, kira-kira 10,000 buah sekolah di seluruh nnegara akan meraikan Hari TVET.
Menurutnya, penglibatan penuh pelajar dalam bidang TVET juga diharapkan akan melahirkan lebih ramai pakar dalam pelbagai bidang tersebut.
“Program-program TVET di negeri Johor juga akan diperkasakan dengan sebuah Kolej Vokasional akan dibangunkan di Pengerang pada 2027, khusus untuk membangunkan industri ini dan lain-lain berkaitan industri khusus untuk pembangunan TVET negara,” katanya. – UTUSAN