17 ditahan dalangi pelaburan palsu ‘Phanteon Ventures’ babit kerugian RM33 juta - Utusan Malaysia

17 ditahan dalangi pelaburan palsu ‘Phanteon Ventures’ babit kerugian RM33 juta

Ramli Mohamed Yoosuf
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 17 yang disyaki mendalangi sindiket pelaburan palsu ‘Phanteon Ventures’ membabitkan kerugian hampir RM33 juta berjaya diberkas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam serbuan di seluruh Malaysia, baru-baru ini.

Kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada 16 lelaki dan seorang wanita berusia antara 23 hingga 52 tahun warga tempatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, selain tangkapan, pihaknya kini sedang memburu tujuh lagi individu yang disyaki ada kaitan dengan sindiket ini terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita.

Kata beliau, sebanyak 66 kertas siasatan berkaitan skim pelaburan palsu Pantheon Ventures dengan jumlah kerugian setakat ini mencecah RM32,972,448.15 diterima sejak awal tahun ini.

“Sebanyak 20 akaun bank membabitkan 12 akaun perniagaan, syarikat (tujuh) dan persendirian (satu) dikesan digunakan oleh sindiket penipuan ini,” katanya dalam sidang akbar di Menara KPJ di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, berdasarkan siasatan, sindiket ini beroperasi sepenuhnya secara dalam talian dan menggunakan nama syarikat pelaburan terkemuka dunia iaitu ‘Pantheon Ventures’ untuk mengelirukan mangsa.

Beliau menjelaskan, ‘Pantheon Ventures’ adalah sebuah syarikat pelaburan yang sah berpangkalan di United Kingdom dan telah ditubuhkan sejak tahun 1982.

“Bagaimanapun, syarikat ini tidak mempunyai kaitan dengan skim pelaburan ‘Pantheon Ventures’ yang ditawarkan sindiket penipuan ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ramli memberitahu, sindiket ini menggunakan Facebook dan WhatsApp sebagai medium pengiklanan dan komunikasi dengan mangsa.

Jelas beliau, iklan promosi pelaburan dibuat melalui Facebook dengan mengaplikasikan sistem algorithm Facebook bagi mencapai hasil yang optimum.

“Tawaran keuntungan yang ditawarkan adalah sekitar enam hingga 400 peratus sehari bergantung kepada pakej yang ditawarkan.

“Selain itu, mangsa turut diyakinkan bahawa pelaburan mereka adalah terjamin dengan adanya bimbingan daripada ‘cikgu trader’ yang kononnya pakar dalam analisis pasaran modal,” jelasnya.

Tambah beliau, bagi tujuan pelaburan, mangsa diarahkan untuk mendepositkan wang ke
akaun tertentu atas nama syarikat, perniagaan atau individu dan memuat turun aplikasi APEX dan NEEQ melalui App Store dan Google Store.

Bagaimanapun, Ramli berkata, mangsa akhirnya tidak menerima keuntungan sebagaimana
yang dijanjikan.

“Polis turut merampas 13 telefon bimbit, satu komputer riba, enam kad pengeluaran wang (ATM), dua set dokumen pendaftaran syarikat, satu cop syarikat dan satu penyata akaun bank.

“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya