16 rumah dilanda banjir kilat di Kampung Putu, Machang Berguling, Lipis - Utusan Malaysia

16 rumah dilanda banjir kilat di Kampung Putu, Machang Berguling, Lipis

AIR empat anak sungai melimpah masuk menyebabkan 16 buah rumah dilanda banjir kilat di Kampung Putu di Lipis, Pahang. - FOTO/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Sebanyak 16 buah rumah di dua kampung dalam kawasan mukim Cheka Dua di sini terjejas banjir kilat yang mengakibatkan kemusnahan harta benda dan tanaman komersial penduduk di situ.

Kampung terbabit ialah Kampung Putu dan Kampung Machang Berguling melibatkan 160 penduduk yang dinaiki air setinggi 1.5 meter kira-kira pukul 11 malam semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Putu, Shafie Ibrahim, 62, berkata, air mula melimpah paras tebing Sungai Putu secara perlahan kira-kira pukul 5 petang semalam dan pantas masuk ke kawasan kediaman penduduk kira-kira pukul 11 malam menyebabkan ramai yang terkejut daripada tidur.

“Kebanyakan penduduk tidak menyangka kebiasaannya air anak sungai berdekatan cuma melimpah daripada paras tebing kemudian surut semula dalam tempoh yang singkat, tetapi kejadian malam semalam berbeza sebelum ini begitu pantas melimpah masuk ke kediaman.

“Penduduk kerap berdepan banjir kilat kerana kedua-dua kampung ini berdekatan dengan aliran Sungai Putu yang juga bertembung dengan (aliran) anak Sungai Atong, Sungai Makit, Sungai Kuang dan Sungai Kerambit seterusnya mengalir ke Sungai Jelai di kawasan Cheka,” katanya di Kampung Putu di sini hari ini.

Menurut Shafie, berikutan kejadian itu, mangsa mengalami kerosakan peralatan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh kerana tidak sempat dipindahkan khususnya rumah warga emas.

“Turut terjejas, iaitu tanaman komersial seperti tebu dan pisang yang ditanam di kebun pesisir anak sungai yang sudah boleh dipasarkan dan ada petani di sini berdepan kerugian,” katanya.

Sementara itu, seorang warga emas Kampung Putu, Wan Jaafar Wan Abu Bakar, 84, berkata, ketika sedang tidur, dia, isteri dan seorang anaknya terkejut apabila jiran menjerit supaya bangun kerana air sudah memasuki ruang dalam kediamannya.

“Dalam keadaan kelam kabut, saya dan keluarga bergegas bangun lalu keluar dan dibantu oleh ahli JPKK termasuk peralatan yang ringan di dapur malah ada yang tidak sempat dibawa keluar seperti peti sejuk kemungkinan sudah rosak ditenggelami air sedalam 1.5 meter,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN