16.98 hektar kawasan kebun sayur dimusnahkan di Cameron Highlands - Utusan Malaysia

16.98 hektar kawasan kebun sayur dimusnahkan di Cameron Highlands

PENGUATKUASA memusnahkan kawasan tanaman sayur yang diceroboh dalam hutan simpan di Cameron Highlands, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) memusnahkan kira-kira 16.98 hektar kawasan kebun sayur di empat hutan simpan yang diceroboh di Cameron Highlands, dekat ini dalam operasi bersepadu lima hari berakhir semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Datuk Zahari Ibrahim berkata, dalam operasi yang disertai 148 penguatkuasa pelbagai agensi itu, pihaknya turut memusnahkan 20 binaan yang terdapat dalam empat hutan simpan melibatkan rumah kongsi, pondok, stor simpanan baja dan rumah plastik.

Menurutnya, operasi kali ini membabitkan empat kawasan hutan simpan iaitu Hutan Simpan Sungai Ichat seluas 0.9 hektar, Hutan Simpan Batu Gangan (1.22 hektar), Hutan Simpan Mentigi (5.7 hektar) dan Hutan Simpan Bertam (9.16 hektar).

“Operasi kali ini dibahagikan kepada dua kumpulan dan dianggap mencabar apabila terpaksa melalui jalan berbukit selain terletak dilereng bukit yang mana untuk sampai ke kawasan ceroboh dalam Hutan Simpan Bertam memerlukan perjalanan sejauh kira-kira enam kilometer.

“Selain bertindak memusnahkan tanaman sayur yang berada dalam hutan simpan, pada masa sama kita turut menanam kira-kira 2,300 pokok hutan,” katanya di sini hari ini.

Zahari berkata, ketika serbuan dilakukan, pekerja warga asing yang mengusahakan kebun sempat melarikan diri dan mereka dipercayai terlebih dahulu menghidu pergerakan penguatkuasa.

Menurutnya, kawasan diceroboh diusahakan dengan beberapa jenis tanaman sayur seperti kacang buncis, lobak, kubis dan bawang dipercayai diusahakan oleh beberapa penduduk tempatan yang menggunakan khidmat pekerja warga asing.

Tambahnya, selain menggunakan kaedah menanam atas tanah, teknik para dawai juga digunakan terutama dibina di kawasan lereng bukit menyebabkan kerja memusnahkan tanaman sayur atas tanah terpaksa menggunakan parang.

Beliau berkata, Pejabat Hutan Daerah Cameron Highlands sudah meletakkan 12 papan notis pemberitahuan bagi mengosongkan kawasan ceroboh sejak awal Julai lalu bagi memastikan pihak terbabit tidak meneruskan aktiviti menanam sayur.

Menurutnya, namun mereka degil dan meneruskan kegiatan pertanian dan tindakan tegas dibuat bagi memusnahkan tanaman sayuran dan binaan diambil kerana ia menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 32 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 kerana menceroboh kawasan hutan simpan.

Beliau memberitahu, pihaknya tidak pasti kawasan hutan simpan terbabit mula diteroka tetapi penemuan kawasan ceroboh itu hasil semakan data risikan JPSM pada Jun lalu selain tinjauan berkala oleh Pejabat Hutan Daerah Cameron Highlands.

“JPSM dan JPNP akan terus meningkatkan pemantauan di semua kawasan hutan simpan di daerah ini dalam memastikan ia tidak diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan warga asing sebagai pekerja.

“Operasi bersepadu di tanah tinggi Cameron Highlands diadakan dari masa ke semasa untuk memastikan aktiviti menanam sayur secara tidak sah dalam hutan simpan dapat disekat sepenuhnya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN