15 peratus kuarters polis tidak boleh dihuni sama sekali 

15 peratus kuarters polis tidak boleh dihuni sama sekali 

SAIFUDDIN Nasution Ismail beramah mesra selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kompleks Setia Perkasa di Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira 80 peratus daripada 64,000 kuarters kediaman anggota polis di seluruh negara berada dalam keadaan layak untuk didiami, manakala 15 peratus lagi tidak boleh dihuni sama sekali.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, justeru, keutamaan harus diberikan kepada aspek kebajikan, terutamanya melihat kepada keadaan kuarters kediaman anggota polis di negara ini.

“Sebagai agensi penguat kuasa terbesar di negara kita (polis), salah satu aspek yang telah lama diabaikan ialah aspek kebajikan, dan oleh itu, saya meminta agar lebih perhatian diberikan terhadap perkara ini.

“Terdapat 64,000 unit di seluruh negara. (Kira-kira) 80 peratus daripadanya boleh diduduki, 15 peratus tidak boleh diduduki dan terdapat peratusan selebihnya yang dengan sedikit pembaikan boleh dijadikan layak untuk didiami,” katanya berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin turut menekankan keperluan perancangan yang lebih terarah, sambil mengakui bahawa bajet yang diperuntukkan mungkin tidak mencukupi untuk menangani semua isu secara  sekaligus.

Oleh itu, katanya, unit-unit yang tidak boleh didiami serta yang memerlukan pembaikan kecil akan dijadikan keutamaan.

“Unit-unit ini mempunyai lantai yang tidak boleh digunakan, bekalan air yang tidak berfungsi serta kabinet dan pendawaian yang usang. Fokus kami adalah memberi keutamaan kepada 15 peratus ini.

“Dan jika pembaikan kecil juga dapat dilakukan kepada unit-unit yang memerlukan, supaya ia boleh segera diduduki, itu juga akan menjadi keutamaan kami,” tambahnya.

Pada 28 Jun lalu, media melaporkan sejumlah 4,612 unit kuarters PDRM sudah dibaik pulih menerusi 465 projek membabitkan dana keseluruhan bernilai RM112.6 juta.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, kerja naik taraf turut meliputi pembaikan saluran paip, pendawaian dan meluaskan unit rumah bagi keselesaan penghuni kuarters.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN