PUTRAJAYA: Seramai 122,062 murid Tahun 1 telah dipilih bagi mengikuti Program Intervensi (literasi dan numerasi) bermula bulan lalu bagi membantu mereka menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).
Jumlah murid yang terpilih itu mewakili 27.2 peratus daripada keseluruhan 448,113 murid Tahun 1 di seluruh negara.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, daripada jumlah itu, seramai 62,928 murid dikesan belum menguasai literasi dan numerasi; 45,465 murid belum menguasai literasi dan 13,669 murid pula belum menguasai numerasi.
Beliau berkata, saringan dan pengesanan awal murid berkenaan telah dilaksanakan pada Julai lalu sebelum program Intervensi dimulakan bermula bulan lalu.
“Ketiga-tiga kelompok murid itu akan diberikan Intervensi berdasarkan tahap penguasaan literasi dan numerasi masing-masing.
“Murid-murid ini akan diletakkan mengikut kumpulan kecil dan mereka kemudiannya akan diberikan kit atau modul bacaan yang sesuai oleh guru-guru,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya, selepas tiga bulan program, penilaian akan dibuat dan mereka akan diletakkan semula ke kelas arus perdana selepas menguasai literasi dan numerasi.
Azman berkata, bagi yang belum menguasai, murid ini akan terus mengikuti program intervensi sehingga mencapai tahap penguasaan lebih daripada mininum untuk mereka kembali ke bilik darjah.
Menurutnya, bagi tempoh tiga bulan itu, murid hanya akan belajar membaca, menulis, dan mengira sahaja.
“Program Intervensi Literasi dan Numerasi itu adalah salah satu daripada empat inisiatif di bawah Program Intervensi Kurikulum.
“Antara inisiatif lain termasuk susulan semula kurikulum (penjajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah); pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang mesra ibu bapa dan latihan untuk guru,” katanya.
Tambah Azman lagi, empat inisiatif itu telah berjalan serentak sejak Mac lalu di seluruh negara.
Katanya, KPM komited memastikan intervensi kurikulum ini dapat memberikan impak positif kepada pengalaman pelajaran murid serta kualiti pendidikan secara keseluruhannya.
“Justeru, sokongan masyarakat termasuk ibu bapa dan pihak berkepentingan lain adalah diharapkan bagi memastikan inisiatif ini berjaya,” katanya.