Skuad ragbi 7s buru gelaran juara Asia - Utusan Malaysia

Skuad ragbi 7s buru gelaran juara Asia

MOHD. NOORAZAM Osman (tengah) dan Amir Amri Mohamad bergambar bersama-sama wakil penaja pada sidang akhbar sempena Karnival Ragbi Johor 2024 & Kejohanan Ragbi Asia Bawah 18 Tahun di Hotel Grand Paragon di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pasukan Ragbi 7 sepasukan (7’s) lelaki bawah 18 tahun (B-18) negara bertekad untuk memburu gelaran juara Kejohanan Ragbi Asia 7s lelaki dan wanita B-18 2024 yang akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini.

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM)  Amir Amri Mohamad berkata, ini bagi mengubati kekecewaan setelah sekadar berada di tempat keempat dalam kejohanan sama tahun lalu dan kali ini dijangka akan berdepan saingan sengit daripada pasukan Hong Kong yang dilabel sebagai kuasa besar ragbi Asia.

“Sebagai tuan rumah, ia memberi kelebihan kepada skuad kebangsaan bagi mengejar sasaran tersebut, bahkan pemain yang dipilih juga sudah bersedia memikul tanggungjawab yang diberikan.

“Dari segi persiapan, kita hanya membentuk pasukan selepas Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak berakhir, harap pemain berupaya menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan,” katanya dalam sidang akhbar kejohanan itu, di sini yang turut dihadiri Presiden Kesatuan Ragbi Johor (JRU), Datuk Mohd. Noorazam Osman.

Skuad ragbi lelaki B-18 kebangsaan pernah melakar sejarah memenangi kejohanan tersebut dua tahun berturut-turut pada 2018 dan 2019 dengan merekodkan kemenangan 100 peratus.

Selain Hong Kong, kejohanan edisi ke-12 itu turut disertai skuad Singapura, Sri Lanka, India, Thailand, Emiriah Arab Bersatu, Taiwan dan Arab Saudi.

Amir berkata, pasukan kebangsaan telah memulakan kem latihan dan menyesuaikan diri dengan keadaan stadium yang menjadi venue kejohanan tersebut.

Sementara itu, Mohd. Noorazam berkata Karnival Ragbi Johor akan turut berlangsung selama sembilan hari bermula Jumaat ini sehingga 6 Oktober di lokasi sama.

Beliau berkata, karnival anjuran JRU sejak 2009 itu mendapat sokongan kerajaan negeri, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Majlis Sukan Negeri Johor dan Majlis Bandaraya Johor Bahru bagi mempromosi dan menyokong pembangunan sukan ragbi.

“Pelbagai aktiviti diadakan termasuk Klinik Ragbi dengan kerjasama Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) yang akan disertai 1,000 pelajar dari seluruh negeri ini serta kursus pengadil dan jurulatih. Kejohanan ragbi itu turut diadakan dengan penyertaan 104 buah sekolah dari seluruh negara serta pasukan luar negara dari Indonesia dan Sri Lanka,” katanya.

Antara pasukan yang akan berentap di Karnival Ragbi Johor 2024 adalah Sekolah Sukan Negeri Tun Hussein Onn, Maktab Sultan Abu Bakar, Sekolah Menengah Seri Mersing (Johor), SMK Sains Hulu Selangor dan Akademi Ragbi Selangor (Selangor), Sekolah Dato Abdul Razak (Negeri Sembilan), Maktab Tentera Diraja, SMK Sains Selangor (Kuala Lumpur), Sekolah Menengah Sains Shah Pekan (Pahang) serta pasukan luar negara ialah St. Joseph College (Sri Lanka) dan SMA Darunnajah, Jakarta (Indonesia). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN