KUALA LUMPUR : Sebanyak 10 laporan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada bekas pengikut Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) yang mendakwa mereka dijadikan buruh paksa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sehingga kini 10 laporan yang dibuat oleh mangsa berbeza setelah gesaan dibuat oleh beliau supaya mangsa yang pernah menjadi eksplotasi buruh paksa tampil membuat laporan polis.
Kata beliau, mangsa yang terlibat pada tarikh kejadian berusia lingkungan 14 hingga 20-an.
“Lokasi kejadian berlaku di Miri, Sarawak ; Rawang, Selangor dan Alor Setar, Kedah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kejadian berlaku dari tahun 2013 hingga 2024.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Mahkamah Buruh Kluang, Johor memerintahkan GISBH membayar RM23,100 kepada bekas pekerjanya yang tidak pernah menerima gaji sepanjang 10 tahun bekerja.
Bekas pekerja itu, Mohamad Adam Rahmad telah memfailkan kes di Pejabat Tenaga Kerja Kluang pada 18 Januari lalu.
Pengadu membuat tuntutan itu terhadap GISBHS yang beralamat di Rawang, Selangor.
Utusan Malaysia dimaklumkan, menurut penghakiman mahkamah, pengadu menyatakan dia mula bekerja pada Januari 2014 sebagai Setiausaha Kerja di Miri, Sarawak.
Dia kemudian telah dipindahkan ke beberapa lokasi dan lokasi terakhir di Endau Johor.
Pengadu menyatakan dia sepatutnya dibayar gaji sebanyak RM9,500 sebulan dengan waktu kerjanya bermula 8 pagi sehingga 5 petang.
Bagaimanapun selepas bekerja, tiada cuti mingguan diberikan dan GISBH tidak pernah dibayar gajinya sejak mula bekerja dari tahun 2014 di premis Miri.
Dia pernah cuba beberapa kali bertanya dengan pihak majikan berkaitan pembayaran gaji dan majikan berjanji akan membuat bayaran penuh bersama dengan gaji-gaji yang tertunggak sebelum ini namun tiada sebarang pembayaran dibuat sehingga kini.