KUALA LUMPUR : Wanita warga asing yang hilang akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini, sejak Jumaat lalu masih belum ditemukan setakat ini.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan berkata, pencarian mangsa diteruskan oleh pasukan operasi dan menyelamat (SAR) menggunakan teknik flushing secara berperingkat bermula pada petang semalam.
“Walau bagaimanapun, setelah dua kali teknik flushing dilakukan, mangsa masih belum ditemukan,” katanya.
Kata kenyataan itu, pasukan Indah Water Konsortium (IWK) juga telah memulakan flushing yang akan dilaksanakan di lurang kumbahan ke lima malam tadi.
“Proses berkenaan telah mengambil masa sehingga pukul 2 pagi tadi. Pencarian oleh pasukan SAR disambung pagi ini,” jelas kenyataan itu.