KUALA LUMPUR: Wanita UMNO mahu menoktahkan krisis keyakinan rakyat terhadap parti itu yang belum pulih selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, ketidaktentuan politik pasca PRU 15 semakin buruk apabila UMNO bukan sahaja kehilangan kepercayaan rakyat, tetapi sebahagian ahli parti sendiri.
Menurut beliau, defisit kepercayaan itu bukanlah suatu perkara baharu, namun dihadapi sejak PRU14.
“Sepanjang tempoh ini, krisis kepercayaan rakyat terhadap parti ini tidak pernah pulih. Dalam PRU13, kita memperoleh 122 kerusi. Angka ini menurun kepada 79 kerusi pada PRU14 dan menurun lagi pada PRU15. Kini, kita cuma memiliki 30 kerusi sahaja.
“Justeru, perhimpunan hari ini (semalam) perlu dijadikan sebagai titik mula, dalam usaha kita menoktahkan krisis keyakinan.
“Kita perlu buat satu pembaharuan di persada politik negara untuk mencipta sebuah kisah klasik untuk masa depan. Kisah sebuah parti yang kembali bangkit membina semula kekuatan,” kata beliau pada ucapan dasar Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), semalam.
Dalam pada itu, Noraini berkata, Wanita UMNO perlu bersedia memulakan kebangkitan semula terutamanya berkaitan aspek jiwa, pembaharuan minda dan pencerahan visi.
Katanya, kebangkitan semula itu bukan sahaja akan memperkukuhkan UMNO, tetapi memperkasakan politik Malaysia secara keseluruhan.
“Ia akan membawa perspektif baru kepada isu-isu penting seperti pendidikan, pembangunan ekonomi dan penjagaan kesihatan. Kita bina UMNO lebih kuat,” ujarnya.