Wang Gunung Trail Run lonjak sektor agro pelancongan Perlis - Utusan Malaysia

Wang Gunung Trail Run lonjak sektor agro pelancongan Perlis

SEBAHAGIAN peserta Wang Gunung Trail Run 2.0 yang dianjurkan bersempena Perlis Outdoor Festival merakamkan gambar bersama di Taman Buah-Buahan Eksotik Sungai Batu Pahat, Kangar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perlis amat berpotensi dalam memperluaskan peluang bagi sektor agro pelancongan susulan keunikan dan keindahan alam semula jadi yang terdapat di Banjaran Nakawan, di sini.

Perkembangan itu dapat dilihat menerusi penyertaan dalam acara Wang Gunung Trail Run 2.0 bersempena Perlis Outdoor Festival yang mendapat penglibatan begitu memberangsangkan dari peserta dalam dan luar negara.

Menerusi penganjuran acara itu, peserta berpeluang membuat larian menelesuri Banjaran Nakawan yang berbukit batu kapur dan mempunyai pelbagai keunikan menarik di sekitar kawasan tersebut.

Di samping itu, mereka juga dapat mengenali dan melihat secara dekat tanaman buah-buah tempatan dan hiliran lain yang terdapat di atas banjaran itu.

Pengarah program Wang Gunung Trail Run 2.0, Ku Hasrin Ku Abdul Rahman berkata, terdapat empat kategori dipertandingkan pada penganjuran kali ini iaitu melibatkan jarak larian sejauh 60 kilometer, 30 kilometer, 15 kilometer dan lima kilometer.

“Melalui acara ini, peserta akan melalui 90 peratus kawasan denai dan 50 peratus kawasan dusun yang sememangnya amat berlainan dengan konsep program larian lain.

“Pada edisi kedua ini juga, kita cuba mempromosikan Banjaran Nakawan yang mempunyai pelbagai tanaman buah-buah tempatan dengan membawakan konsep larian pada waktu malam bagi menghidupkan suasana kawasan ini,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan di Taman Buah-Buahan Eksotik Sungai Batu Pahat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ku Hasrin berkata, jumlah peserta pada kali ini adalah seramai 700 orang di mana ada diantaranya juga adalah dari negara luar seperti Singapura dan Thailand.

Katanya, terdapat juga hadiah wang tunai disediakan buat para pemenang pada kali ini dengan nilai keseluruhannya berjumlah RM10,400 serta barangan-barangan lain yang mencecah RM20,000.

“Lebih istimewanya, hadiah tempat pertama hingga ketiga akan disampaikan sendiri oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail,” katanya.

Dalam pada itu, Ku Hasrin berkata, pihaknya juga ada menerima permintaan daripada para peserta bagi menambah jarak larian sehingga 100 kilometer untuk penganjuran acara berkenaan pada edisi seterusnya.

Namun begitu, dia berkata, pihaknya perlu membuat kajian terperinci terlebih dahulu berhubung perkara itu sebelum membuat keputusan bagi menambah jarak larian tersebut.

“Di samping itu, kita sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan pemain industri juga mengharapkan sokongan serta peranan kerajaan negeri dalam menjaya perkara ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya