KUALA LUMPUR: Keberadaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan bukan sahaja dapat memulihkan kekuatan parti, tetapi untuk terus memperjuangkan agenda mempertahankan hak orang Melayu dan Islam.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO merupakan parti yang signifikan kepada orang Melayu, justeru peluang berada dalam Kerajaan Perpaduan merupakan jalan terbaik untuk parti itu terus bersuara tanpa pertikaian daripada mana-mana pihak.
Bahkan, jelas Mohamed Khaled, langkah ini selaras dengan prinsip Perlembagaan negara yang memelihara kedudukan orang Melayu dan Islam.
“UMNO kini dalam proses menerima ‘rawatan’ dan dalam memulihkan parti, tidak boleh dinafikan keberadaan UMNO dalam kerajaan dan kuasa yang ada itu boleh membantunya dalam proses ini.
“Ini kerana, ia akan membuat keterlihatan pemimpin UMNO dan akan menyebabkan kepimpinan UMNO mampu membawa agenda orang Melayu, malah kepimpinan itu tentunya boleh membantu selesaikan isu dan cabaran yang dihadapi orang Melayu,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Utusan Malaysia.
Tambahnya, UMNO perlu menjadi pilihan pengundi Melayu supaya parti itu dapat terus memainkan peranan penting selain mengekalkan momentum sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Tetapi, kalau UMNO di luar kerajaan, tidak ada kuasa, kita berhujahlah setinggi suara pun, tidada siapapun pandang. Dalam proses nak pulih, kita kena terima sedikit kuasa itu boleh membantu,” katanya.
Pada PRU15, UMNO tewas dengan hanya memperoleh 26 kerusi.
Bagi membolehkan kestabilan politik negara, Kerajaan Perpaduan dibentuk dengan gabungan Pakatan Harapan (PH), PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) bersama Barisan Nasional (BN), selain gabungan parti dari Sabah dan Sarawak.
Ekoran kerjasama itu, pelbagai sentimen sengaja diwujudkan sekali gus menyebabkan UMNO menerima tentangan daripada kalangan akar umbi dan juga masyarakat Melayu yang memaksa parti itu perlu memberi kefahaman kepada golongan berkenaan.
Mohamed Khaled dalam masa sama turut mengimbas kembali kerjasama membentuk kerajaan pada 2018 yang ketika itu banyak hak orang Melayu dan Islam dipertikai, berbanding ketika di bawah Kerajaan Perpaduan.
“Sangat jelas ketika Kerajaan PH, ketika itu berdepan dengan isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD), isu Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC), peruntukan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dikurangkan, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dipertikaikan, penjawat awam dikecilkan.
“Tetapi (apabila) UMNO dalam kerajaan hari ini, kita dapat lihat gaji kakitangan awam dinaikkan, menjayakan Kongres Ekonomi Bumiputera, melancarkan Pelan Transformasi Ekonomi. Kalau UMNO tidak ada dalam kerajaan, tidak adalah agenda untuk ekonomi bumiputera.
“Jika itu dapat dilakukan bersama dalam Kerajaan Peraduan seperti mana yang dirancang, maka masyarakat akan berlaku adil untuk menilai UMNO,” ujarnya.
Tambah beliau, tidak adil bagi rakyat membuat penilaian terhadap sesebuah kerajaan hanya berpandukan sentimen yang dimainkan pembangkang.