TLDM lemas: Suasana pilu di Jabatan Perubatan Forensik HSI - Utusan Malaysia

TLDM lemas: Suasana pilu di Jabatan Perubatan Forensik HSI

PEKARANGAN Jabatan Perubatan Forensik HSI mula dipenuhi ahli keluarga, pegawai dan anggota TLDM yang menunggu proses bedah siasat jenazah Laskar Kelas (LK) I Arman San Hermansa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Suasana pilu menyelubungi pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini dengan kehadiran beberapa orang waris Penyelam Ranjau dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA), Laskar Kelas (LK) I Arman San Hermansa yang meninggal dunia semasa operasi menyelamat kapal KD Pendekar, semalam.

Selain ahli keluarga, kira-kira 50 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut berada di situ bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Difahamkan, selepas proses bedah siasat selesai, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) menggunakan van jenazah TLDM sebelum diterbangkan ke kampung halamannya di Lahad Datu, Sabah.

Semalam, Arman San dilaporkan hilang di dasar laut sebelum ditemukan maut ketika melakukan operasi menyelamatkan bangkai kapal KD Pendekar yang karam di perairan Tanjung Penyusop, Kota Tinggi.

KD Pendekar yang beroperasi selama 21 tahun itu tenggelam kira-kira pukul 12 tengah hari, Ahad lalu di perairan Tanjung Penyusop selepas mengalami kebocoran dipercayai akibat terlanggar objek bawah air.

Walau bagaimanapun, usaha pantas komuniti maritim berjaya menyelamatkan kesemua 39 kru KD Pendekar sebelum kapal itu tenggelam. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN