KUALA LUMPUR: Tiga sayap UMNO mahu usaha memperkasa ekonomi bumiputera dan Melayu menjadi agenda utama kerajaan dan pemimpin Melayu semua parti.
Perkara tersebut antara tumpuan dalam ucapan dasar Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri di Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), semalam.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, Masalah yang membelenggu orang Melayu ketika ini bukan menjadi tanggungjawab UMNO semata-mata, sebaliknya perlu dipikul oleh semua pemimpin Melayu.
Ia membabitkan aspek ekonomi, kadar kemiskinan tegar, penguasaan bumiputera dalam ekuiti dan korporat, pengangguran serta pendidikan.
Beliau berkata, semua orang Melayu dalam pelbagai parti politik perlu membuang ego masing-masing bagi menyelesaikan isu yang dihadapi kaum majoriti tersebut.
“Kita berhadapan isu lebih besar dan menekan. Dalam isu ekonomi, kadar kemiskinan tegar di Malaysia mencatatkan masyarakat Melayu bumiputera di kedudukan tertinggi iaitu 7.2 peratus. Penguasaan korporat bumiputera di bursa Malaysia hanya tujuh peratus.
“Dalam pasaran ekuiti pula, pegangan Bumiputera kurang dari 20 peratus. Kemudian, berdasarkan statistik Jabatan Penjara Malaysia setakat tahun 2020, sebanyak 69.7 peratus jumlah banduan adalah terdiri daripada Melayu dan bumiputera.
“Belum lagi dihitung dalam isu pengangguran, keciciran pendidikan, pemilikan rumah yang kita semua maklum. Tanpa statistik dan angka sekalipun, kita tahu di mana kedudukan orang Melayu kita.
“Permasalahan yang saya nyatakan tadi bukan masalah untuk difikirkan oleh UMNO sahaja,, tetapi juga masalah yang perlu difikirkan oleh orang Melayu dalam PKR, orang Melayu dalam Pas, orang Melayu dalam Amanah, orang Melayu dalam Bersatu, bahkan juga orang melayu dalam DAP,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menyeru kerajaan mempertimbangkan semula pendekatan terhadap pembangunan ekonomi ketika ini.
Noraini berkata, walaupun negara mempunyai pencakar langit yang menjulang tinggi, lebuh raya bertingkat, pusat membeli-belah mewah, namun realiti di peringkat akar umbi jauh berbeza.
Katanya, Wanita UMNO, menyambut baik usaha kerajaan melalui inisiatif seperti Bantuan Tunai Rahmah, tetapi ia disifatkan hanya ‘setitis air di padang pasir kemiskinan yang semakin meluas’.
“Kita memerlukan satu pendekatan yang lebih holistik yang bukan sahaja memberi bantuan jangka pendek, tetapi membawa rakyat keluar terus dari kitaran kemiskinan secara total.
“Juga tidak mengabaikan golongan M40, yang terlalu ‘kaya’ untuk layak menerima bantuan, tetapi terlalu “miskin” untuk hidup selesa dalam zaman ekonomi moden ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nuru Amal Mohd Fauzi berkata, kerajaan diharap tidak meminggirkan dan mengetepikan peluang dan ruang bumiputera dalam pembangunan ekonomi negara.
“Pastikan hak dan kelebihan bumiputera dalam ekonomi tidak diketepikan. Kita menerima Dasar Penjimatan Negara, namun, jangan kerana langkah yang dilaksanakan, ruang ekonomi bumiputera dikecilkan kerana teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
“Kerajaan perlu melihat semula dasar-dasar baharu, dan pekeliling yang dikeluarkan.
“Jangan sesekali meminggirkan hak ekonomi bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.