TUMPAT: Seorang tukang kebun sekolah dari Kampung Sering, Kota Bharu di sini bersengkang mata sejak tiga minggu lalu untuk menyiapkan wau puyuh gergasi bersaiz 5.5 meter bertemakan kemerdekaan.
Azhar Ibrahim, 32, berkata, kerja kerasnya itu bertujuan menzahirkan semangat patriotisme sempena sambutan kemerdekaan negara ke-67 yang disambut pada hari ini.
Menurutnya, setiap malam dia akan bersengkang mata selama 10 jam untuk menyiapkan kerangka, menampal plastik pada badan wau dan menghias dengan tema kemerdekaan.
“Saya akan mulakan kerja seawal pukul 8 malam dan berhenti sekitar 4 pagi.
“Kerja-kerja ini hanya dapat dilakukan pada sebelah malam, kerana siang saya bekerja. Alhamdulillah, kerja-kerja ini menjadi mudah apabila saya dibantu oleh 10 rakan-rakan lain,” katanya kepada pemberita semasa program Layangan Merdeka 4.0 di Pantai Geting di sini hari ini.
Azhar memberitahu, sebanyak RM1,000 digunakan menghasil wau tersebut mengikut warna Jalur Gemilang.
Katanya, dia gembira dapat menyiapkan wau gergasi itu yang disifatkan paling besar pernah dihasilkan.
“Sebelum ini wau paling besar hanya bersaiz 5 meter sahaja,” ujarnya,
Seorang lagi pembuat wau dari Kampung Sri Tapang, Mohd Zulkifli Ibrahim, 32, berkata, dia teruja untuk menyertai pertandingan wau yang bertemakan Jalur Gemilang.
Katanya, ini merupakan kali pertama dia berbuat demikian dan mengambil masa selama sebulan untuk menyiapkan.
Sementara itu, wakil penganjur, Muhammad Nor Akraminuddin Mohd. Razihan berkata, sebanyak 300 wau akan diterbangkan di ruang udara Pantai Geting ini sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Katanya, penganjuran kali ke empat bertujuan untuk menzahirkan semangat anak muda cintakan negara dengan simboliknya menyobek wau tema Jalur Gemilang.-UTUSAN