Tidak kisah berbelanja lebih demi kibar Jalur Gemilang - Utusan Malaysia

Tidak kisah berbelanja lebih demi kibar Jalur Gemilang

HUSSIN Abdul Muthalib menunjukkan rumahnya di Taman Senawang Indah 2, Senawang, Seremban yang dihiasi dengan Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sambutan Bulan Kebangsaan yang berlangsung ketika ini merupakan waktu terbaik untuk rakyat menyatakan rasa cinta dan semangat patriotik kepada negara.

Menurut pesara polis, Hussin Abdul Muthalib, 60, atas semangat itu, dia tidak kisah untuk mengeluarkan sedikit belanja untuk membeli Jalur Gemilang dan bendera negeri-negeri lain bagi menghias rumahnya di Taman Senawang Indah 2 (TSI2) di Senawang di sini sempena sambutan Bulan Kebangsaan kali ini.

Ujarnya, selain itu, dia juga menggunakan beberapa barangan yang boleh digunakan semula bagi menambah keceriaan rumahnya itu.

“Saya mengambil masa kira-kira seminggu untuk menghias rumah ini dengan kibaran Jalur Gemilang dan bendera negeri-negeri termasuklah Negeri Sembilan. Sebagai pesara saya mempunyai banyak masa lapang jadi saya gunakan untuk menghias rumah ini.

“Selain idea sendiri saya juga dibantu oleh isteri terutama hiasan replika bunga raya dan hiasan pokok-pokok bunga bagi menceriakan laman rumah ini. Sedikit demi sedikit akhirnya ia siap juga,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Hussin lagi, dia mengambil inisiatif untuk menghias rumahnya dengan bertemakan kemerdekaan dan kenegaraan itu juga adalah sempena Pertandingan Rumah dan Lorong Tercantik Sempena Bulan Kemerdekaan yang dianjurkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Matahari Indah, TSI2 dan Taman Mayang Sari, Senawang di sini.

“Ini kali pertama pertandingan ini dianjurkan KRT di sini, jadi saya tidak ketinggalan untuk menyertainya, bukanlah kemenangan yang dicari tetapi demi menyemarakkan semangat kemerdekaan ini selain mengeratkan hubungan di antara jiran tetangga dan penduduk di taman perumahan ini.

“Semangat patriotik ini mesti kita tonjolkan dan inilah waktunya, sebagai seorang pesara, saya harap usaha sebegini dapat juga dicontohi oleh generasi muda, walaupun kecil sahaja sumbangan kita tetapi ia mempunyai makna yang cukup besar,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya