PETALING JAYA: Penyanyi, Aufahanie, memaklumkan masih menunggu perkembangan terbaharu daripada pihak polis berhubung kehilangan abangnya, Nidza Afham.
Sementara itu, menurut Aufa atau Nur Aufahanie Mokhtar, 21, dia dan keluarga melakukan ikhtiar lain dengan berjaga sepanjang malam menjejaki abangnya di sekitar Klang.
“Kami sekeluarga masih menunggu sebarang berita daripada pihak polis. Tapi sebagai ikhtiar lain, sejak pukul 1 pagi tadi, kami masih aktif mencari abang di sekitar Klang terutama di kawasan jambatan.
“Sebelum kejadian ini, abang tidak tunjukkan sebarang perilaku mencurigakan. Dia okay, memandangkan setiap hari kami akan berhubung dan berbual dengannya. Kami rajin kongsi video kelakar di TikTok,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Bercerita lanjut mengenai kronologi kehilangan, penyanyi Geming Rindu itu memaklumkan kali terakhir lokasi Afham berjaya kesan adalah di sekitar jambatan Sungai Klang menerusi aplikasi carian telefon bimbit.
“Lokasi terakhir abang adalah di jambatan Sungai Klang, statik dan tidak bergerak. Umi dan adik saya pergi ke jambatan untuk cari abang. Bila sampai di sana, abang tiada. Ada dua orang lelaki datang hulurkan bantuan.
“Mereka jalan sampai ke belakang jambatan dan jumpa satu telefon bimbit dan dompet. Dalam dompet ada kad pengenalan dan kad pelajar abang, tapi kad debit dan wang tunai sudah tiada.
“Selepas itu, Umi maklumkan pada kami. Jadi, kami adik-beradik pergi ke sana dan buat laporan polis bersama-sama,” jelasnya.
Dalam pada itu, Aufa turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan berharap masyarakat terus mendoakan agar abangnya dapat ditemui dengan selamat.
Terdahulu, menerusi hantaran di Instagram, Aufa memaklumkan abangnya, Nidza Afham dilaporkan hilang selepas joging di Klang pada Selasa malam.
Menurut kakaknya, Irfahanie, hasil pemeriksaan telefon bimbit tidak menunjukkan Afham terlibat dengan sebarang pergaduhan atau melakukan pinjaman dengan ceti haram.
Bagaimanapun, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Klang, malam tadi. -UTUSAN