YAN: Jangkaan kenaikan sewa jentera tuai padi sehingga RM200 bagi setiap relung sawah di negeri ini atau RM700 per hektar pada musim penanaman 1/2024 tidak lama lagi tidak dapat dielak bagi mengimbangi kos penggunaan diesel.
Pengusaha, Rosli Hasan, 50, dari Kampung Banggol Besi, Pendang berkata, mereka tiada pilihan lain sekiranya mengekalkan harga lama antara RM130 ke RM150 serelung atau RM450 per hektar.
“Kami terpaksa naik kepada RM200 serelung yang sebenarnya kami sendiri pun malu bila terpaksa tingkatkan harga begini, namun jika tidak berbuat demikian kami pula terpaksa tanggung modal tinggi untuk alat gantian mesin padi.
“Itu belum masuk kos pemandu jentuai, dan kalau kerajaan bagi bantuan diesel sekali pun kami tak boleh jamin harga turun sebab alat ganti sudah tiga kali naik selama ini walaupun kami tidak naikkan harga mesin padi kepada pesawah,” katanya ketika ditemui pada sesi dialog isu kos diesel antara pesawah dan pengusaha jentera di sini, semalam.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan kebimbangan para pesawah di negeri ini dan Perlis terhadap ura-ura kenaikan sewa perkhidmatan mesin padi kepada RM200 serelung atau 0.30 hektar.
Rosli berkata, dia memahami tekanan yang terpaksa dihadapi pesawah ekoran kenaikan kos kerana dia juga ada mengusahakan sawah padi sendiri di samping menyediakan perkhidmatan jentuai.
Seorang lagi pengusaha jentuai, Mohd. Faizal Haziar, 50, berkata, keputusan menaikkan sewa sehingga RM200 serelung itu juga adalah paling minima mereka boleh tawarkan kepada pesawah.
“Mahu tidak mahu memang kena naik yang bukan bertujuan nak catat untung berlipat ganda tapi sekadar melepasi modal yang kita tanggung sebelum sehingga selesai proses menuai padi.
“Jumlah RM200 itu sudah mengambil kira tekanan yang terpaksa ditanggung pesawah dan tekanan yang kami hadapi sendiri sebagai pengusaha, malah saya juga ada sawah seluas kira-kira 30 hektar dan tahu apa yang berlaku.
“Dengan peningkatan kos ini diharap kerajaan pertimbang untuk bantu pesawah dengan menaikkan harga padi pula yang sekarang dikatakan terlalu rendah,” katanya.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, bantuan insentif pembajakan dan insentif penuaian sebanyak RM210 per hektar per musim perlu dinilai semula.
“RM210 per hektar terlalu sedikit sebab julat perbezaannya tinggi. Mesin padi sahaja RM200 per relung atau RM700 sehektar sedangkan insentif kerajaan hanya RM50 sehektar.
“Terlalu banyak beza RM50 dengan RM700 itu yang sudah pasti membebankan petani, maka kerajaan kena lihat semula insentif itu dengan mengadakan perbincangan melalui Kabinet atau Kementerian Kewangan,” katanya.