ALOR SETAR: Lelaki Rohingya yang diberkas selepas disyaki membunuh isteri dan dua anaknya meninggalkan lokasi kejadian dengan berjalan kaki sejauh kira-kira 17 kilometer ke sebuah masjid di Bukit Pinang, di sini.
Selepas membunuh tiga ahli keluarganya pada Ahad lalu, suspek berusia 43 tahun yang memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) turut membawa seorang lagi anak lelakinya berumur lima tahun yang tidak diapa-apakan.
Sebelum berjalan, dia dipercayai mengelar leher isterinya yang berusia 34 tahun dan dua anaknya masing-masing perempuan berusia 10 tahun dan lelaki berumur dua tahun menggunakan sebilah parang berukuran kira-kira 45 sentimeter (cm).
Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Adzli Abu Shah berkata, berdasarkan siasatan suspek disyaki bertindak kejam kerana menghadapi tekanan emosi kerana mereka lima beranak hidup daif dan gelandangan.
“Malah, saringan awal air kencing mendapati suspek positif amphethamine, methamphetamine dan mop. Polis mengesahkan kes ini sebagai kes domestik dan tidak melibatkan jenayah terancang atau bersiri. Maka polis minta orang ramai tidak buat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran dan ketakutan kepada awam,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Mengulas lanjut, Adzli berkata, suspek dipercayai membunuh ketiga-tiga mangsa di bangunan terbiar yang menjadi tempat perlindungan mereka di Pekan Simpang Kuala, Jalan Sultan Abdul Halim.
Katanya, kesemua mangsa dipercayai dibunuh pada malam Ahad sebelum dua daripada mayat itu ditemukan di dalam longkang di belakang bangunan itu pukul 5 petang kelmarin.
“Suspek berjaya dikesan berada di Masjid Al-Hidayah, Bukit Pinang bersama anak lelakinya. Bersama suspek polis menemukan parang yang digunakan serta dokumen pengenalan diri isteri dan anak-anaknya,” katanya.
Menurut beliau, mayat ketiga iaitu kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dijumpai di Pantai Leman, Kuala Kedah disyaki anak bongsu suspek yang turut menjadi mangsa bunuhnya.
Bagaimanapun, kata Adzli, pihaknya akan melakukan pengesahan identiti terlebih dahulu sebelum pengesahan dapat dibuat tetapi tidak menolak mangsa sebagai anak suspek ekoran terdapat kesan kelar di leher sama seperti dialami ibu dan kakaknya.
Sementara itu, Imam Masjid Al-Hidayah di Bukit Pinang, Mohd. Fauzi Bakar Dia berkata, sebelum lelaki itu ditahan, dia datang meminta supaya ruqyahkan anaknya kerana mendakwa kena rasuk sehingga menyebabkan perutnya buncit.
Menurut Mohd. Fauzi, lelaki yang berbaju dan berkain pelekat itu didapati berada di tangga masjid ketika dia bersama beberapa jemaah lain keluar dari pintu utama selepas solat Isyak.
“Sebelum ditahan, lelaki itu sempat memohon untuk tidur di masjid. Kata lelaki itu, kalau dapat tidur di pekarangan masjid pun tidak mengapa tetapi dia minta supaya buka lampu,” katanya.
Susulan kejadian itu, lelaki itu direman tujuh hari bermula semalam untuk disiasat kerana membunuh. – UTUSAN