KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah murka dan terkilan atas tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara sengaja dan sinis memperlekeh serta mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin A-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Tengku Hassanal bertitah, sebagai bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tersebut memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Yang di-Pertuan Agong Ke-16 seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.
Titah baginda, kenyataan Muhyiddin juga kelihatan tidak matang, menampakkan seolah-olah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.
Kenyataan itu juga tegas Tengku Hassanal begitu bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap institusi Raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat.
“Berdasarkan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri dilantik atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang berperanan sebagai Ketua Negara. Manakala, Perkara 43(2) pula menetapkan bahawa Perdana Menteri haruslah dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut.
“Sungguhpun begitu, Al-Sultan Abdullah selaku Yang di-Pertuan Agong Ke-16 tidaklah sewenang-wenangnya membuat keputusan untuk melantik Perdana Menteri walaupun perlembagaan memberikan kuasa mutlak kepada baginda.
“Baginda semasa itu memanggil pakar-pakar Perlembagaan, penjawat awam utama negara dan yang terakhir secara musyawarah mendapatkan pandangan Majlis Raja-Raja dan akhirnya barulah pelantikan Perdana Menteri ketika itu dibuat.
“Parlimen juga sudah meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Disember 2022. Sehubungan itu, keputusan undi percaya tersebut adalah jelas dan selari dengan pertimbangan Yang di-Pertuan Agong ke-16 semasa Baginda memilih Anwar sebagai Perdana Menteri,” titah baginda dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang, Kelantan.
Tengku Hassanal meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi kepada Muhyiddin yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R iaitu Kaum, Agama, Institusi Diraja.
“Saya juga ingin menasihatkan kepada semua ahli politik, selaku pemimpin rakyat, mestilah sentiasa berpegang teguh pada prinsip Rukun Negara dan terus-menerus untuk sentiasa menyatupadukan rakyat agar Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dapat menjadi sebuah negara maju, cemerlang ekonomi, alam sekitarnya lestari dan rakyatnya bahagia,” titah baginda. – UTUSAN