Tengku Afzan, FD Idzham selamat diijabkabulkan

Tengku Afzan, FD Idzham selamat diijabkabulkan

TENGKU PUTERI Afzan Aminah Hafidzatullah dan FD Idzham FD Iskandar selamat diijabkabulkan di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tengku Puteri Raja Pahang, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan pasangannya, FD Idzham FD Iskandar, selamat diijabkabulkan dalam Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja di sini malam ini.

Majlis berkenaan berlangsung dengan penuh istiadat perkahwinan diraja Pahang di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di sini.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyaksikan istiadat diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, anakanda dan menantu dengan mengenakan persalinan berwarna kuning diraja.

Majlis turut dihadiri 110 jemputan khas dan kerabat bergelar, ahli keluarga serta teman rapat.

Al-Sultan Abdullah berkenan memberi izin kepada Mufti Pahang, Profesor Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim untuk mewakilkan baginda mengakadnikahkan Tengku Puteri Raja disaksikan Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah sebagai saksi pertama, Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah sebagai saksi kedua, dua saksi dari pihak pengantin lelaki dan seluruh hadirin.

Istiadat akad nikah bermula sekitar pukul 8.50 malam dengan bacaan surah al-Fatihah, lafaz syahadah dan bacaan khutbah nikah.

FD Izham yang berbaju Melayu dan samping putih sedondon melafazkan akad nikah dengan dua kali lafaz, kira-kira pukul 9 malam.

FD Izham kemudiannya melafazkan lafaz taklik dan seterusnya diiring keluar untuk menunaikan solat sunat nikah.

Istiadat dilanjutkan dengan keberangkatan masuk Tengku Puteri Afzan yang turut mengenakan persalinan serba putih dan suaminya FD Izham ke dalam Balai Mahkota bagi upacara penyerahan mas kahwin berupa senaskah al-Quran dan menyarung cincin.

Majlis berakhir dengan bacaan doa dan pengisytiharan perkahwinan serta istiadat merenjis yang dimulakan oleh ayahanda Puteri Raja, Al-Sultan Abdullah.

Sementara itu, Istiadat Perkahwinan Diraja itu dijadual berlangsung selama tiga hari bermula hari ini bagi Istiadat Akad Nikah, pada esok untuk Istiadat Berinai dan pada Ahad untuk Istiadat Bersanding.

Istiadat akad nikah diraja itu juga disiarkan secara langsung melalui dua layar besar disediakan di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 dan Tasik KotaSAS.

FD Idzham merupakan merupakan anak sulung kepada Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Glomac Berhad, Datuk Seri FD Iskandar Mohamed Mansor.

FD Izham juga merupakan usahawan dan pemain ragbi untuk kelab Saracens FC yang berpangkalan di London. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN