JAKARTA: Mahkamah Indonesia memerintahkan dua syarikat tempatan membayar sebanyak 60 juta rupiah (RM16,847) kepada lebih 200 buah keluarga selepas anak mereka meninggal dunia akibat kecederaan buah pinggang akut kerana mengambil ubat batuk beracun.
Menurut mahkamah dalam keputusannya semalam, pengeluar ubat dan pembekal, Afi Farma serta CV Samudera Chemical bersalah kerana kecuaian sehingga mengakibatkan kematian mangsa.
Lebih 200 kanak-kanak maut sementara 120 lagi selamat, namun sebahagiannya mengalami cacat kekal akibat terminum ubat batuk beracun keluaran dua syarikat berkenaan.
Kerajaan turut mengarahkan penarikan balik ubat tersebut dari pasaran serta membatalkan permit untuk lebih 1,000 produk tersebut.
Kes itu dikemukakan oleh 25 keluarga yang memfailkan tuntutan sivil terhadap dua syarikat terbabit, kementerian kesihatan dan beberapa syarikat lain pada akhir 2022.
Menurut mahkamah, kes tersebut tidak sepatutnya berlaku dan menyalahkan pengawasan yang lemah oleh syarikat farmaseutikal, termasuk pengeluar ubat tempatan, beberapa pembekal serta agensi makanan dan ubat negara (BPOM).
Bagaimanapun, mahkamah memutuskan Kementerian Kesihatan dan BPOM tidak bersalah.
Keluarga kanak-kanak yang meninggal dunia sebelum ini menuntut ganti rugi sejumlah 3.4 bilion rupiah (RM960,547), manakala sebanyak 2.2 bilion rupiah (RM621,577) bagi mereka yang jatuh sakit.
Siasatan mendapati, ubat batuk itu mengandungi 99 peratus kandungan ethylene glycol (EG), sejenis bahan yang menghalang pembekuan cecair, sedangkan piawaian hanya membenarkan 0.1 peratus EG untuk dimakan.- AGENSI