SEREMBAN: Padah menyimpan spesies kura-kura dilindungi tanpa kebenaran, sepasang suami isteri dijatuhi hukuman denda sebanyak RM24,000 setiap seorang di Mahkamah Sesyen Seremban di sini hari ini.
Orang Kena Saman (OKS) Lee Mun Heng, 65, dan isterinya, Lim Chai Hak, 50, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan menyimpan sembilan ekor kura-kura jenis Katub, African Spurred Tortoise dan Telinga Merah di kediaman mereka di Green Street Homes, Seremban 2, pada 2022.
Hakim, Mazni Nawi turut memerintahkan kedua-dua OKS dipenjara sebulan bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda.
Mengikut empat pertuduhan, mereka secara bersama-sama menyimpan seekor kura-kura Katub jenis etina, tiga ekor kura-kura Katub, dua ekor kura-kura African Spurred Tortoise dan tiga ekor kura-kura Telinga Merah tanpa lesen iaitu hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Pertama dan Kelima, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Kesemua kesalahan itu dilakukan di premis kediaman di Green Street Homes, Seremban 2 di sini lebih kurang pukul 9.30 pagi, 10 November 2022.
Pendakwaan menyimpan kura-kura Katub jenis betina dibuat di bawah Seksyen 62 Akta 716 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Kesalahan menyimpan kura-kura Katub dan African Spurred Tortoise pula didakwa di Seksyen 60(1)(a) Akta 716 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 60(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Seterusnya, bagi kesalahan menyimpan kura-kura Telinga Merah dibuat di bawah Seksyen 117(1) Akta 716 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 117(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh didenda maksimum RM30,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Gilmoore G Bolongon mencadangkan hukuman berbentuk pengajaran dan amaran bukan sahaja kepada tertuduh tetapi kepada orang awam.
Tegas Gilmoore, hukuman setimpal penting bagi menunjukkan keseriusan dalam jenayah melibatkan hidupan liar yang dilindungi dan terkawal.
Sementara itu, peguam, Jayaprakash Rao yang mewakili pasangan suami isteri itu berkata, Mun Heng merupakan pesara yang pernah bekerja sambilan sebagai pereka hiasan dalam manakala isterinya mengusahakan tadika.
“Ini merupakan kesalahan pertama OKS, tujuan mereka menyimpan kura-kura ini adalah sebagai haiwan peliharaan, tiada aktiviti pengedaran atau jual beli,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, siastaan mendapati mereka memelihara kura-kura itu sejak tiga tahun lalu dan ada antaranya dibeli melalui penjual di media sosial, Facebook.-UTUSAN.