Sembilan bayi merdeka lahir di Melaka

Sembilan bayi merdeka lahir di Melaka

RAIS Yasin (tiga dari kanan) menunjukkan isyarat bagus bersama lima daripada lapan bayi merdeka yang dilahirkan di Hospital Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai sembilan bayi merdeka dilahirkan di Hospital Melaka dan Hospital Alor Gajah di sini pada sambutan Hari Kebangsaan Ke-67, hari ini.

Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, lapan bayi dilahirkan di Hospital Melaka manakala seorang di Hospital Alor Gajah.

Menurutnya, kelahiran kesemua bayi itu direkodkan bermula pukul 12 tengah malam sehingga 10 pagi tadi.

“Kelahiran pertama adalah seorang bayi perempuan pada pukul 12.04 tengah malam dan kesemua bayi berkenaan kini dilaporkan berada dalam keadaan sihat termasuk ibu mereka.

“Di Hospital Melaka, tiga bayi lelaki dan lima bayi perempuan. Seorang ibu terpaksa melalui pembedahan manakala selebihnya lahir secara normal.

“Program Bayi Merdeka Hospital Melaka adalah acara tahunan yang diadakan hasil kerjasama kerajaan negeri bertujuan meraikan dan memberi penghargaan bayi yang lahir pada hari kemerdekaan negara,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka.

Tambah Rais, kerajaan negeri memberi sumbangan bernilai RM9,000 termasuk penyediaan hamper barangan bayi dan wang sagu hati.

Sementara itu, seorang ibu, Nur Fazillah Zahari, 40, berkata, dia tidak menyangka anak keempatnya dilahirkan pada 31 Ogos pukul 12.04 tengah malam, iaitu lebih lewat dari tarikh sepatutnya.

“Saya tidak jangka tarikh 31 Ogos bayi saya lahir, sepatutnya bersalin lebih awal selepas dimasukkan ke Hospital Melaka pada 29 Ogos,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN