DUA hari lepas, gugur lagi sebutir permata seni. Mohd. Fauzi Darus atau Jay Jay yang pergi menemui pencipta pada usia 67 tahun.
Arwah yang menderita penyakit jantung, meninggal dunia di Thomson Hospital Kota Damansara sekitar pukul 9.27 malam Ahad akibat kegagalan organ dalaman selepas diserang strok.
Semalam jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang, Petaling Jaya. Awan mendung mengiringi majlis pengbumian yang dihadiri lebih 200 kenalan arwah.
Besar sumbangan penyanyi kesayangan ramai ini kepada dunia hiburan tanah air. Industri seni tidak hanya kehilangan seorang seniman, malah adiwira yang banyak berjasa.
Langkah masuk arwah ke dalam dunia seni tanah air adalah sebagai vokalis kumpulan Carefree pada 1979.
Empat tahun bertahan, kumpulan itu mencipta kejayaan menerusi tiga album iaitu Kebebasan, Kebebasan II dan Kebebasan III selain album kompilasi, The Best of Carefree yang diterbitkan pada tahun 1993.
Perjalanan seni arwah tidak ternoktah meskipun Carefree menemukan titik pengakhiran pada 1982.
Kecintaan terhadap bidang muzik dan nyanyian mendorong beliau bertahan. Hasilnya, arwah sempat menghasilkan 7 album solo, 6 album kompilasi dan beberapa album lain antaranya Riang Ria Hari Raya yang diterbitkan pada 1985 dan Gema Hari Raya pada 1989.
Di sebalik gahnya nama Jay Jay dalam industri seni tempatan, tersembunyi seorang Mohd. Fauzi yang berhati mulia dan disayangi ramai.
Bahkan, pemergian arwah dua hari lalu diiringi cerita-cerita baik tentangnya. Menurut anaknya, Kamelia, Jay Jay seorang bapa yang banyak berkorban dan mengutamakan keluarga lebih daripada segalanya.
“Walaupun beliau seorang pemuzik dan bersahabat ramai, masa terluangnya tetap dihabiskan bersama keluarga lebih-lebih lagi cucu-cucunya.
“Muzik adalah kehidupannya. Malah selepas pembedahan yang dilakukan sekitar Mei lepas, beliau bersemangat untuk pulih dan mahu kembali menghiburkan peminatnya.
“Kami nampak dia bersemangat untuk pulih, masih mahu bekerja untuk menyara keluarga. Dia berjuang walau pun bergelut dengan kesihatannya.
“Tapi kami tak sampai hati melihat dalam tempoh singkat, pelbagai prosedur dilakukan ke atasnya. Kami reda, biarlah arwah berehat. Tidak perlu lagi beliau menderita,” katanya.
BERHATI MULIA, DISEGANI
“Arwah seorang yang sopan dan selalu ingin menjaga hati orang lain.”
Itu pandangan penyanyi dan komposer terkenal, Datuk M. Nasir mengenai Allahyarham Jay Jay.
Pada M. Nasir, Jay Jay adalah permata seni yang tiada galang gantinya.
“Saya meminati dan menghormati arwah. Bahkan, sayalah peminat yang sanggup berdiri dalam kalangan penonton untuk menyaksikan persembahannya.
“Ketika kali terakhir bertemunya, arwah memaklumkan dia sudah berdamai dengan takdir dan reda ketentuan yang tertulis untuknya.
“Saya rasakan beliau sudah bersedia untuk ‘pergi’. Tetapi sebelum ini, saya berharap beliau sembuh daripada kesakitan yang ditanggungnya,” ujarnya.
Datuk DJ Dave, yang ditemui sewaktu majlis pengebumian arwah mengenang Jay Jay sebagai penghibur yang berdisiplin dan seorang yang berhati mulia.
“Kami banyak kali sepentas. Sebab itu saya banyak kenangan dengan arwah. Tambahan pula kami pernah bernaung di bawah syarikat rakaman yang sama.
“Arwah seorang yang pendiam. Dia suka bersendirian dan paling terpuji adalah sikapnya yang tidak mahu menyakiti hati sesiapa pun.
“Beliau juga seorang artis berdisiplin dan bersemangat dalam melakukan tugasnya. Bahkan ketika bertemu beliau sebelum dan selepas pembedahannya, arwah ada memberitahu betapa beliau teruja untuk kembali ke pentas untuk menghiburkan peminat.
“Saya juga dimaklumkan tiga hari sebelum arwah meninggal dunia, beliau telah menyatakan hasrat untuk mengusahakan kedai nasi beriyani. Apa pun ajalnya sudah sampai, Allah S.W.T lebih sayangkan beliau,” katanya. – UTUSAN