Ramai calon doktor pakar di Indonesia ingin bunuh diri

Ramai calon doktor pakar di Indonesia ingin bunuh diri

UJIAN kesihatan mental terhadap calon doktor pakar mendapati ramai di antara mereka yang tertekan sehingga wujud keinginan bunuh diri.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin mendedahkan ramai pelajar Program Pendidikan Doktor Pakar (PPDS) ingin bunuh diri kerana tekanan dibuli.

Beliau berkata demikian susulan kes seorang pelajar PPDS di Universiti Diponegoro (Undip) Semarang, Jawa Tengah yang didakwa bunuh diri akibat dibuli doktor senior.

“Kita juga pernah melakukan ujian kesihatan mental terhadap pelajar PPDS dan ramai di antara mereka yang ingin bunuh diri,” katanya kepada pemberita di Istana Wakil Presiden di Jakarta, kelmarin.

Menteri itu bimbang kes bunuh diri akibat buli menjadi fenomena besar kepada negara tersebut.

“Ini adalah tabiat buruk yang memberi kesan tidak baik dalam profesion perubatan yang dianggap sangat mulia.

“Bayangkan jika doktor-doktor ini sejak muda dididik seperti itu, hidup mereka pasti tertekan,” katanya.

Beliau berkata, banyak cara yang lebih baik untuk mendidik karakter bakal doktor pakar, dan membuli bukanlah tindakan yang dibenarkan dalam proses pendidikan.

“Seharusnya ada banyak cara untuk mendidik, yang memerlukan ketahanan mental tanpa membuli.

“Ia bukan tertakluk kepada bidang perubatan semata-mata, tetapi juga ketenteraan, polis, penerbangan dan profesion lain,” katanya.

Terdahulu, seorang pelajar PPDS Fakulti Perubatan Undip ditemukan meninggal dunia di bilik sewanya pada malam Isnin.

Polis mengesahkan mangsa meninggal dunia selepas menyuntik dirinya dengan ubat bius.- KOMPAS

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN