BAITULMUQADDIS: Beberapa rakyat Israel mendakwa menerima mesej ugutan daripada sumber tidak dikenali menerusi telefon pintar yang mengancam mahu membunuh mereka.
Akhbar Yedioth Ahronoth melaporkan, mesej yang diterima itu mengandungi nama penuh dan alamat penerima dan menyatakan mereka akan dibunuh menjelang minggu depan.
Akhbar Israel tersebut memetik kenyataan polis yang memaklumkan pihaknya sedang mengesan sumber mesej terbabit serta meminta penerima mengabaikannya.
Ini adalah kali pertama rakyat Israel menerima mesej berbaur ancaman ketika perang Israel di Gaza berlarutan selama 10 bulan.
Selain itu, Israel turut berdepan ancaman Iran dan Lubnan susulan pembunuhan dua pemimpin utama yang disifatkan menceroboh kedaulatan Teheran dan Beirut.
Ini susulan pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh yang terkorban dalam serangan di ibu negara Iran pada hujung bulan lalu.
Mayat pemimpin kanan Hezbollah, Fuad Shukr pula ditemukan di bawah runtuhan bangunan, beberapa hari selepas satu serangan di penempatan Haret Hreik, Beirut, Lubnan.
Angkatan Pertahanan Israel (IDF) dalam satu kenyataan mengaku bertanggungjawab membunuh Fuad, namun tidak menafikan atau mengiyakan penglibatannya dalam pembunuhan Haniyeh.- AGENSI