Projek ECRL didakwa punca banjir kilat

Projek ECRL didakwa punca banjir kilat

KESAN banjir kilat masih boleh dilihat didakwa kesan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh, Kelantan. – UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Lebih 500 penduduk di Kampung Permatang Sungkai dan Kampung Banggol Pak Esah di sini, mendakwa banjir kilat yang sering menenggelamkan penempatan mereka berpunca daripada sistem saliran air di kawasan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang tersumbat sejak setahun lalu.

Dakwa penduduk, masalah itu menyebabkan mereka sudah berdepan banjir kilat sebanyak tiga kali pada tahun ini setiap kali hujan lebat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Mohd. Nazrul Kamal Mohd. Nawawi, 41, mendakwa saiz pembetung air yang kecil dan kerap kali tersebut serta tidak diselenggara dengan baik menjadi punca kepada masalah tersebut.

“Walaupun hujan dalam tempoh satu jam, bahagian dapur rumah akan dimasuki oleh air keroh bersama lumpur.

“Bagi menggelakan barangan elektrik termasuk mesin basuh dan peti ais mengalami rosakan, saya membuat bangku bagi mengelakkan ia daripada ditenggelami banjir kilat,” katanya ketika ditemui di Kampung Permatang Sungkai di semalam.

Seorang lagi penduduk, Noor Ilham Shamsudin, 38, memberitahu, banjir kilat yang paling teruk berlaku di kawasan itu pada 24 Januari dan 6 Ogos lalu.

Katanya, bagaimanapun semalam, air di halaman rumah mencecah sehingga 0.6 meter.

“Saya mewakili penduduk memohon jasa baik pihak ECRL perlu bertindak segera mengatasi masalah ini untuk memberi keselesaan kepada penduduk yang tinggal berhampiran kawasan pembinaan,” ujarnya.

Seorang penduduk Kampung Banggol Pak Esah, Ibrahim Saad, 45, berkata, jalan utama ke Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Pak Esah sering terputus setiap kali hujan lebat apabila terowong laluan yang dibina ditenggelami air.

“Kami khuatir dua kampung ini bakal tenggelam banjir pada penghujung tahun ini sekiranya tiada tindakan bijak pengurusan ECRL untuk menyelesaikan masalah ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN