PRK Nenggiri: Pas tidak minta ahlinya jadi calon Bersatu-Saifuddin

PRK Nenggiri: Pas tidak minta ahlinya jadi calon Bersatu-Saifuddin

SAIFUDDIN Abdullah semasa menyampaikan ceramah di Unit Daerah Mengundi (UDM) Meranto, Gua Musang, Kelantan malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendedahkan Pas tidak pernah meminta ahlinya untuk menjadi calon seterusnya bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri 17 Ogos ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata, isu tersebut tidak timbul kerana Bersatu yang bertindak mencari calon untuk mewakili parti itu.

“Saya Ahli Majlis Tertinggi (Bersatu) nak tegaskan Bersatu yang cari calon pada masa itu. Kita tidak kira parti, pada kita undi Pas adalah undi Bersatu.

“Undi Bersatu, undi Pas. Tetapi oleh kerana telah diputuskan kerusi Nenggiri dahulunya ditandingi oleh Bersatu, maka kali ini yang bertanding adalah Bersatu juga.

“Maka jadilah Bersatu dan dapatlah calonnya Mohd. Rizwadi (Ismail). Bukan Pas minta, Bersatu mencari calon itu,” katanya semasa menyampaikan ceramah di Unit Daerah Mengundi (UDM) Meranto disini malam tadi.

Mengulas lanjut, Saifuddin memberitahu, menariknya Mohd. Rizwadi adalah pengundi Nenggiri berbanding lawannya merupakan orang luar kawasan.

Katanya, pemilihan Mohd. Rizwadi dibuat selepas mengambil kira jumlah pengundi majoriti di Nenggiri adalah orang muda.

“Bukannya kami tidak sayang kepada orang yang dah lama tapi menghormati majoriti. Menghormati majoriti ini sangat penting sebab ia amalan demokrasi.

“Pada saya ini adalah calon Perikatan Nasional yang bertanding menggunakan logo Pas di PRK Nenggiri,” ujarnya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri 17 Ogos ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Bersatu menggunakan logo Pas.

Pada PRK itu nanti BN akan diwakili oleh Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani sementara PN menamakan Mohd. Rizwadi Ismail sebagai calon.

Sebelum itu, pada 19 Jun lalu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas penyandangnya, Mohd. Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) lalu, calon PN dari Bersatu, Mohd. Azizi Abu Naim menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab. Aziz Yusoff.- UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya