GUA MUSANG: Pas secara terbuka mengajak DAP untuk turun ke Nenggiri membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ketika ini.
Timbalan Presidennya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man secara sinis berkata, hal ini kerana penduduk di Sungai Terah mahu melihat raut wajah DAP.
“DAP ini tiada semangat setiakawan. Kawan tengah susah ketika ini maghi (datang) pun tidak.
“Pasal apa tak maghi (datang),” katanya semasa berceramah di Unit Daerah Mengundi (UDM) Sungai Terah, di sini, malam tadi.
Utusan Online sebelum ini melaporkan DAP tidak menerima undangan daripada Barisan Nasional (BN) untuk berkempen membantu mereka di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri.
Setiausaha DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, mereka akan turun bantu BN berkempen sekiranya dijemput.
Terdahulu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Ahmad Maslan berkata, keperluan DAP turun berkempen membantu calon BN pada PRK Nenggiri tidak terlalu mendesak, memandangkan majoriti pengundi di kawasan tersebut terdiri daripada Melayu.
Menurutnya, DUN Nenggiri hanya mempunyai 35 orang pengundi Cina.
Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Kubang Kerian memberitahu, secara umumnya kepimpinan tertinggi Pas berpuas hati dengan gerak kerja jentera parti itu.
Katanya, segala gerak kerja berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Setiap gerak kerja jentera dipantau oleh pimpinan tertinggi parti, pada masa sama kita turut turun ziarah jentera yang sedang bertugas,” ujarnya.
Tuan Ibrahim berharap, gerak kerja jentera dapat membantu meningkatkan peratusan keluar mengundi seterus memastikan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menggunakan logo Pas menang dengan majoriti lebih tinggi.
Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) lalu menyaksikan calon Bersatu Mohd. Azizi Abu Naim menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN Ab. Aziz Yusoff.-UTUSAN