GUA MUSANG: Pas kekal menjadi kerajaan di Kelantan walaupun Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos ini.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said sebaliknya berkata, kemenangan BN itu akan menjadikan calon mereka Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie sebagai penghubung antara Nenggri dengan Kerajaan Persekutuan selain membawa suara di peringkat DUN Kelantan.
Menurutnya, apa yang penting pengundi Nenggiri dinasihatkan tidak tersalah pilih wakil rakyat serta memilih pemimpin yang sudah berpengalaman untuk membangunkan kawasan mereka.
“Rakyat perlu membuat keputusan bijak pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu ini dengan memilih pemimpin yang menjadi penghubung antara rakyat dengan kerajaan pusat. Paling penting mereka harus memilih wakil rakyat yang sentiasa ada bersama mereka serta memberi fokus perkhidmatan di kawasan kampung.
“Saya nak ingatkan penduduk di DUN Nenggiri banyak perkara melibatkan seliaan kerajaan pusat walaupun tanah ini milik kerajaan negeri. Tapi pelaksanaan soal perparitan, hospital, naik taraf mahkamah semua di bawah bidang kuasa kerajaan pusat.
“Apabila kita pilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili suara kerajaan pusat lebih mudah dan senang. Kalau tengok kawasan Nenggiri ketinggalan apabila kemenangan diberi kepada pihak lain dan bukan kerajaan BN,” katanya kepada pemberita selepas Program Dikir Barat Merdeka dan Awie Untuk Nenggiri di Gelanggang Futsal Kampung Limau Kasturi di sini hari ini.
Azalina memberitahu, pengundi yang bijak sudah pasti memilih orang yang dapat membantu pembangunan kawasan.
“Orang yang banyak bercakap dia tak tinggal di Nenggiri dan semua akan balik yang tinggal mereka yang mengundi. Jadi kita mesti pilih wakil rakyat dapat membantu rakyat,” ujarnya.-UTUSAN