PRK DUN Nenggiri : Undi Orang Asli bukan lagi deposit tetap BN

PRK DUN Nenggiri : Undi Orang Asli bukan lagi deposit tetap BN

MOHAMAED Fadzli Hassan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG:  Tindakan Perikatan Nasional (PN) yang meraih undi Orang Asli pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggir bukan dianggap sebagai terdesak, sebaliknya ia membuktikan kegagalan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) di kawasan tersebut sebelum ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, perkara itu diakui oleh penduduk Orang Asli sendiri yang mendakwa mereka dipinggirkan sejak lebih 40 tahun lalu.

“Apabila kita masuk ke kawasan Orang Asli, mereka memaklumkan penduduk asal terpinggir daripada agensi kerajaan yang telah dipertanggungjawabkan termasuk wakil rakyat setempat.

“Kita (PN) baru kali pertama menang di Nenggiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu. Jadi mana tanggungjawab wakil rakyat sebelum ini?Kita juga dimaklumkan oleh jaringan komuniti perkampungan Orang Asli bahawa BN gagal menjaga kebajikan Orang Asli sejak lebih 40 tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Pas Kawasan Gua Musang, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli memberitahu, masyarakat Orang Asli turut mendakwa mereka bukan lagi deposit tetap penyokong BN seperti sebelum ini.

Katanya, komuniti itu telah membuka jalan kepada PN untuk masuk ke kawasan mereka.

“Bukan kami baru nak masuk (kawasan Orang Asli), tetapi sekarang ini baru terbuka jalan selepas mereka merasakan sudah ditipu oleh BN.

“Orang Asli kini terdedah dengan maklumat semasa dan diharap ada sinar baharu dalam PRK kali ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, tindakan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin meminta pengundi Orang Asli membahagikan sokongan kepada PN dan BN sebagai isyarat protes, dianggap tindakan terdesak parti lawan.

Timbalan Ketua UMNO Gua Musang, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, nasib Orang Asli di bawah kerajaan negeri sebelum ini sentiasa terabai malah tiada peruntukan khusus untuk mereka.

“Saya nampak PN terdesak. Dahulu mereka tidak peduli langsung soal Orang Asli. Dalam DUN Nenggiri pun tiada bajet tambahan besar diberikan kepada masyarakat Orang Asli dan isu-isu Orang Asli. Saya tidak nampak mereka cuba selesaikan dengan serius.

“Saya cuma nampak, semua berpusu-pusu ke pos-pos Orang Asli untuk meraih undi Orang Asli. Saya dapat laporan daripada pemimpin tempatan, mereka sudah janji bulan dan bintang,” ujarnya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN