Populasi enam bandar Afrika cecah 10 juta menjelang 2035

Populasi enam bandar Afrika cecah 10 juta menjelang 2035

LAPORAN Unit Kecerdasan Ekonomi mendedahkan lebih separuh penduduk Afrika tinggal di bandar dan bandar raya menjelang 2034.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAPE TOWN: Enam buah bandar di Afrika dijangka memiliki lebih 10 juta penduduk menjelang tahun 2035, dengan populasi muda yang berkembang pesat di benua itu menjadikannya sebagai kawasan urbanisasi terpantas di dunia.

Menurut laporan Unit Kecerdasan Ekonomi, bandar-bandar terlibat adalah ibu negara Angola, Luanda; pusat komersial Tanzania, Dar es Salaam; Kaherah di Mesir; Kinshasa di Congo; Lagos di Nigeria; dan Johannesburg di Afrika Selatan.

Laporan itu menyebut, perkembangan pesat tersebut akan menyebabkan lebih separuh penduduk Afrika tinggal di bandar dan bandar raya menjelang 2035, sekali gus mewujudkan peluang perniagaan dan masyarakat yang lebih kaya.

“Bagaimanapun, kepesatan itu boleh membawa kepada masalah seperti kesesakan populasi, kadar pengangguran tinggi, perkhidmatan awam yang lemah, perkhidmatan utiliti yang terbeban dan pendedahan kepada perubahan iklim,” jelas laporan berkenaan seperti dilaporkan akhbar The Guardian.

Jelas laporan itu lagi, selain enam bandar raya besar tersebut, Afrika juga akan mempunyai 17 kawasan bandar dengan lebih 5 juta populasi dan kira-kira 100 kawasan lagi dengan lebih daripada 1 juta penduduk.

Daripada 100 bandar terbesar, Addis Ababa dijangka berkembang pada kadar purata tahunan 10.6 peratus, diikuti oleh Kampala, Dar es Salaam dan Abidjan dengan kadar di atas atau hampir 9 peratus.

Populasi bandar di benua itu juga diramalkan mencapai hampir 1 bilion menjelang 2035, meningkat daripada kira-kira 650 juta tahun lalu.

Afrika Timur dijangka menjadi kawasan dengan populasi bandar yang paling pesat berkembang, diikuti oleh Afrika Tengah dan Afrika Barat.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan, jumlah penduduk di Afrika boleh mencapai 2.2 bilion dalam tempoh 30 tahun akan datang, dengan kira-kira 70 peratus daripada populasi berumur di bawah 30 tahun.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN