PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dipanggil keterangan Selasa ini berhubung ucapan yang didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Nenggiri baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima 29 laporan daripada pelbagai pihak berhubung perkara itu.
“Kita memanggil beliau untuk tampil beri keterangan pada 20 Ogos bagi membantu siasatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Sebelum ini, tular di media sosial ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menerusi hantaran di laman Facebook semalam, telah menzahirkan perasaan kecewa serta terkilan dengan kenyataan Muhyiddin dan memohon pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu.- UTUSAN