Petani resah padi diserang ulat putih, sewa jentuai naik

Petani resah padi diserang ulat putih, sewa jentuai naik

PETANI resah dengan kenaikan sewa jentuai dan serangan ulat putih yang paling teruk pada musim ini di Kubang Sepat, Jerlun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERLUN: Petani di daerah ini gelisah dengan jangkaan kenaikan sewa jentuai sehingga RM200 serelung pada musim ini yang disifatkan terlalu tinggi sekaligus membebankan mereka.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) E2 Kubang Sepa, Abd. Halim Salleh, kenaikan kos itu juga dikhuatiri mengurangkan pendapatan hasil sawah masing-masing pada musim ini ekoran tanaman dijangkiti penyakit padi yang teruk seperti ulat putih dan padi angin.

“Para pengusaha mesin padi ini membuat keputusan menaikkan sewa jentera mereka tanpa berbincang dengan pesawah. Kenaikan RM200 terlalu mahal. Kita pesawah memahami kenaikan diesel dan bahan lain ketika ini namun jika kenaikan sekitar RM30 iaitu untuk bahan api dan kos penyelenggaraan mereka, itu diterima akal.

“Terdapat sebanyak 2,500 pesawah di sini dan kita mendengar keluhan mereka kerana padi pun tak lama lagi nak tuai. Keresahan amat terasa dengan keadaan padi pun tak banyak mana hasil kerana berpenyakit seperti ulat putih,” katanya ketika ditemui di Kubang Sepat dekat sini semalam.

Menurut beliau, pesawah berharap kenaikan tersebut dipertimbangkan untuk memastikan kebajikan golongan berkenaan dan tidak menekan mereka sehingga menggugat pendapatan.

“Kalau sewa ini dinaikkan juga sehingga RM200 pendapatan bersih petani hanya dijangka RM350 untuk serelung setelah ditolak semua upah. Itu pun jika sudah dikira tambahan subsidi padi RM500, kalau tanpa itu memang lagi teruk.

“Sebelum ini harga RM120 ke RM130 serelung kalau naik RM30 kita boleh terima lagi tetapi ini kenaikan sehingga RM70. Kita harap pihak kementerian pun akan bekerjasama melihat perkara ini.

Masalah ini mungkin dapat diselesaikan jika diesel itu diberikan subsidi bersasar kepada golongan pengusaha mesin padi ini,” katanya.

Sementara itu, menurut pesawah Fisol Omar, 61, petani menghadapi pelbagai cabaran dalam mengerjakan sawah termasuk kos upah yang semakin tinggi.

“Sekarang ada fenomena baharu, jangkitan ulat putih yang memberi masalah dan padi angin.

“Kita kecewa kerana padi angin ini menyebabkan kerosakan sehingga 80 peratus. Pendapatan petani setiap musim semakin berkurangan, ada yang sehingga 60 peratus jadi kita tak boleh nak tampung kos,” katanya.

Menurut Mohtar Bakar, 64, berdasarkan perkiraan mereka, kenaikan diesel yang perlu ditampung pengusaha jentuai bagi setiap relung cuma RM16 berbanding RM70 yang ditetapkan oleh pesawah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN