KUALA LUMPUR: UMNO akan mempertahan kedudukan Islam dan hak orang Melayu, tetapi ahli-ahli perlu sedar realiti bahawa UMNO bukan parti dominan dalam kerajaan hari ini.
Menegaskan perkara tersebut, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu akan kekal pada prinsip dan perjuangannya meskipun ketika ini menjalin kerjasama politik dengan parti-parti lain.
“Perkongsian kuasa untuk membentuk kerajaan campuran bukan dianggap fenomena baharu dalam dunia politik, malah model tersebut telah digunapakai di 70 buah negara luar,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, semalam.
Malah katanya, perkongsian kuasa juga tidak asing di Malaysia di mana seawal proses demokrasi negara mula diperkenalkan, gabungan Perikatan diwujudkan dianggotai UMNO, MCA dan MIC, menang 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan.
Pada hari ini, UMNO dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dianggotai PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk membentuk Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menegaskan UMNO tidak teragak-agak untuk menamatkan kerjasama politik dengan mana-mana parti termasuk dalam Kerajaan Perpaduan jika kepentingan Melayu dan Islam cuba ‘dicairkan’.
“Hakikatnya, perkongsian kuasa ini ditempa dengan mewajibkan semua pihak menerima keindukan Melayu dan Islam.
“Seandainya dalam kita menjalin kerjasama dengan mana-mana parti, jika martabat Islam dan perjuangan agenda Melayu cuba dirungkai atau dicairkan, kita tidak akan teragak-agak membuat keputusan politik untuk menghentikan kerjasama berkenaan,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut mengingatkan pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat untuk merampas kembali kerusi yang parti itu kalah pada pilihan raya akan datang sekiranya mahu UMNO terus dominan dan relevan dalam kerajaan.
Katanya, adalah penting untuk UMNO terus dominan, dalam erti kata lain mempunyai kelebihan di tengah-tengah perubahan landskap politik tanah air.
“Kita mesti dominan dari segi bilangan kerusi. Ini menuntut semua UMNO Bahagian yang Parlimen atau DUN-nya kalah, perlu berusaha untuk menawan semula kerusi-kerusi berkenaan.
“Selain itu, kita mesti dominan dalam kedudukan perundingan sekiranya keadaan memerlukan perkongsian dan pada masa sama, dominan dalam ideologi perjuangan iaitu mempertahankan keindukan Melayu Islam serta bumiputera.
“Kita juga mesti dominan dalam menawarkan dasar-dasar awam yang menjamin kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran negara,” ujarnya.
Menurut Ahmad Zahid, untuk memastikan UMNO terus dominan dan relevan dalam kepimpinan kerajaan, UMNO perlu menguasai kerusi Parlimen dan DUN yang digariskan menerusi empat faktor.
Katanya, empat faktor itu bukan sahaja berkait tentang kelangsungan parti, tetapi ia juga mampu menjadikan UMNO sebagai penentu dalam soal pembentukan kerajaan.
Tambahnya, faktor kedua dan ketiga telahpun dilalui selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila UMNO berunding membentuk perkongsian, selain menetapkan syarat-syarat kerjasama sehingga termeterainya perjanjian membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, kita tidak pernah disekat untuk memasang cita-cita besar. Kita berhak kembali dominan dengan jalan yang kita lakar, kerana kita adalah parti yang bebas merdeka.
“Lantaran pandangan ini janganlah ditafsir sebagai keangkuhan. Sebaliknya, ia adalah pendirian tegas dalam kita mahu memastikan UMNO terus relevan. Pendirian ini juga bagi menjamin rakyat tidak diperjudikan dengan politik emosi atau sentimen yang merugikan,” katanya. – UTUSAN