KOTA TINGGI: Seorang anggota penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meninggal dunia ketika melakukan operasi menyelamatkan bangkai Kapal Diraja (KD) Pendekar yang karam di perairan Tanjung Penyusop, di sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintenden Mohd. Syamsuri Mohamad mengesahkan pihaknya menerima laporan tentang kejadian itu, namun tidak memberikan butiran lanjut.
“Pihak kami ada terima laporan dan masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini.
KD Pendekar tenggelam di perairan Tanjung Penyusop selepas mengalami kebocoran dipercayai akibat terlanggar objek bawah air pada 25 Ogos lalu.
Usaha pantas komuniti maritim berjaya menyelamatkan kesemua 39 kru KD Pendekar sebelum kapal itu tenggelam.
Sebelum ini, tular satu rakaman dalam media sosial yang memaparkan detik-detik cemas 39 kru Kapal Diraja (KD) Pendekar diselamatkan selepas sebahagian kapal itu tenggelam akibat mengalami banjir besar dan kebocoran. – UTUSAN