Penoreh mahu harga getah diselaras - Utusan Malaysia

Penoreh mahu harga getah diselaras

ZAINIDAR Idris ketika menorah getah di kebunnya di Kampung Jeram Sri Repah, Tampun semalam.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Kerajaan melalui agensi berkaitan disaran untuk mencari satu langkah terbaik bagi menetapkan harga getah yang selaras di seluruh negara.

Pemilik kebun getah yang juga pesara guru, Zainidar Idris, 59, berkata, timbul kehairanan terutama dalam kalangan penoreh mengapakah harga getah yang ditawarkan berbeza di antara sesuatu kawasan.

“Walaupun ada tempat harga getah boleh mencecah sehingga RM4.50 sekilogram, namun di Negeri Sembilan harga tertinggi buat masa ini hanya sekitar RM3.90. Harganya juga tidak sama bagi setiap minggu.

“Minggu lalu RM3.60 (getah), minggu ini pula RM 3.35. Walaupun harga getah ini jauh lebih baik berbanding harga dahulu, kami harap agar satu ketetapan harga dapat dilaksanakan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Jeram Sri Repah, di sini, semalam.

Akhbar ini pada 23 Ogos lalu melaporkan lebih 200,000 pekebun kecil di seluruh negara kini menikmati harga tertinggi komo­diti getah yang mencecah sehingga RM4.50 sekilogram dalam tempoh hampir 20 tahun.

Kenaikan harga getah antara RM4 hingga RM4.50 sekilogram itu membantu penoreh menjana pendapatan RM4,000 hingga RM6,000 sebulan bergantung keluasan tanaman komo­diti tersebut.

Dalam pada itu, Zainidar berkata, pekebun kecil sepertinya yang berdaftar di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sememangnya sudah lama menunggu harga komoditi berkenaan melonjak naik.

“Lonjakan harga getah itu juga sedikit sebanyak akan memberikan galakkan serta semangat kepada pemilik kebun getah untuk menoreh kembali getah masing-masing.

“Ikutlah kaedah yang sesuai sama ada ditoreh sendiri atau upah orang dengan kadar bayaran yang dipersetujui bersama. Sayang jika kebun getah sudah ada, namun, tidak mengusahakannya.

“Saya juga percaya jika harga getah mencapai harga tertinggi seperti mana lebih 10 tahun lalu iaitu sehingga RM6.50 sekilogram, banyak kebun getah terbiar akan kembali diusahakan,” katanya.

Sementara itu, seorang penoreh getah di Chengkau, Rembau, Mohd. Khalis Che Hussin, 39, berkata, harga getah yang dikatakan mencecah sehingga RM4.50 sekilogram ketika ini tidak berlaku di Negeri Sembilan.

Menurutnya, harga getah terkini di Rembau adalah pada Harga RM3.20 hingga RM3.30 sekilogram.

“Memang tidak dapat harga RM4.50 tersebut, itu harga pada tujuh tahun lalu, di Rembau memang tidak jumpa harga itu sekarang. Jumaat lalu saya dapat jual getah pada harga RM3.30 sekilogram.

“Harga ini masih rendah, bagi saya yang mengusahakan kebun getah sendiri seluas tiga ekar setengah, purata sebulan saya boleh memperoleh pendapatan sekitar RM1,400 sebulan. Itu jika hanya saya seorang.

“Bagaimana pula jika perlu dibahagikan pula kepada dua orang penoreh dan juga penoreh yang perlu berkongsi pendapatan dengan pemilik kebun? Memang harga getah sekarang tidak lagi berbaloi dan relevan buat situasi semasa, sebab itu di tempat saya sekarang, ramai yang tidak lagi keluar menoreh,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN