SEPANG: Lebih 2,000 penduduk sekitar Sungai Merab, berdekatan Bandar Baru Bangi, Selangor terpaksa berdepan insiden banjir lumpur berulang 12 kali dalam tempoh 14 tahun setiap kali hujan lebat berlaku di kawasan itu.
Malah, bencana terburuk dialami pada awal Julai dan 23 Ogos lalu sehingga memasuki kesemua 32 unit rumah di Desa Villa Merab setinggi satu kaki selepas hujan tanpa henti sekitar lebih satu jam.
Banjir dikesan surut dalam tempoh dua jam, namun kesannya meninggalkan lumpur setebal 6 sentimeter dalam rumah masing-masing, dan keadaan itu lah berlaku setiap kali dan telah mengakibatkan kerosakan harta benda.
Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Desa Villa Merab, Datuk Mohd Roslan Mahayudin, punca berlaku banjir lumpur ini akibat limpahan air dari bukit di sekeliling perumahan ini memandangkan topografi tanah di sini adalah kawasan berbukit yang sedang dibangunkan dengan projek hartanah dan eco pertanian.
Katanya, kesan limpahan air itu mengakibatkan Desa Villa Merab menerima risiko kerana ia merupakan kawasan yang paling landai.
“Selain punca hujan lebat, ia juga disebabkan kemasukan limpahan air dari luar selepas hujan berhenti melalui lubang air sistem perparitan tertutup taman ini.
“Bahagian kanan curahan air dari bukit terdapat kerja-kerja pembangunan perumahan sedang dijalankan . Kami tidak pasti pengaliran keluar air pergi ke mana kerana pada waktu hujan lebat, air turun dari bukit melimpah ke jalan raya dan turun ke arah kawasan perumahan ini yang berjarak 80 meter,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dalam pada itu, seorang wakil penduduk, Mohamad Isa Mohd Yassin berkata, bencana ini turut mengakibatkan kawasan kampung berdekatan dilanda banjir walaupun terdapat parit di situ, namun penghujung parit itu didapati tertutup mengakibatkan air tersekat dan berlaku limpahan.
Katanya, kampung-kampung sekeliling seperti Kampung Sungai Merab Luar, Taman Melur dan Sungai Merab Jaya menerima limpahan air dari bukit yang sedang dibangunkan untuk jualan tanah lot banglo yang telah digondolkan.
Keadaan ini berlaku kerana pihak pemaju tidak membuat sistem perparitan sebelum kerja-kerja pembinaan dilakukan.
“Maka air lumpur tanah merah melimpah kekawasan surau dan Kampung Sungai Merab Luar.
“Air daripada pembangunan tanaman nanas dari atas bukit juga turun memasuki parit di kawasan ini,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya telah membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sejak tahun 2022, namun sehingga hari ini tiada tindakan diambil.
Katanya, keadaan banjir kilat ini boleh diselesaikan sekiranya pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat membina satu terowong untuk mengalirkan air ke sungai merab, hanya sepanjang 50 meter bagi menampung limpahan air jika berlaku hujan lebat.
Justeru, beliau dan semua mangsa banjir lumpur membuat laporan polis atas kerugian yang terpaksa ditanggung akibat bencana ini lebih RM300,000.
“Kami meminta pihak MPSepang untuk mengambil perhatian isu ini kerana ia tidak pernah diselesaikan sejak kali pertama banjir berlaku walaupun aduan dan laporan dibuat berkali-kali. Sekarang ini kami tidak tidur lena dan cemas setiap kali hujan lebat kerana risau naik air lagi.
“Kami juga meminta pihak MPSepang dan Pejabat Tanah Daerah Sepang mengenakan penalti kepada pemaju hartanah dan projek eco pertanian yang tidak membangunkan sistem perparitan yang betul,” katanya. – UTUSAN