Pemuda rentung selepas terperangkap di dalam rumah

Pemuda rentung selepas terperangkap di dalam rumah

KEBAKARAN sebuah rumah menyaksikan seorang pemuda ditemukan mati dalam kejadian di Lorong Nimar 500, Taman Mas, Tanah Merah, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Seorang pemuda ditemukan rentung selepas terperangkap di tingkat atas rumahnya dalam kejadian di Lorong Nimar 500, Taman Mas di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 pagi itu, mangsa, Mohammad Nur Syahid Faridzuan Mohd. Syukri, 27, meninggal dunia selepas dipercayai tidak sempat turun dan keluar rumah berikutan api sedang marak di tingkat bawah.

Sepupu mangsa, Afiq Syami Azmi, 32, berkata, dia yang berada di rumahnya yang terletak beberapa meter dari kediaman mangsa bergegas keluar selepas terdengar bunyi bising dan jeritan penduduk kampung.

Menurutnya, dia mendapati kepulan asap keluar dari rumah Mohammad Nur Syahid Faridzuan.

“Saya terus menghubungi talian kecemasan kerana bimbang api terus merebak. Mohammad Nur Syahid Faridzuan dikatakan berada di tingkat rumah dua tingkat dan tidak sempat turun untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Zulkifli Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 11.59 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, anggota bomba mendapati seorang lelaki ditemui rentung di tingkat atas rumah berkenaan semasa tiba di lokasi kejadian.

“Mangsa dikatakan sedang tidur di tingkat atas manakala ibu bapanya keluar membeli barang.

“Lelaki itu dipercayai tersedar daripada tidur selepas mengalami sesak nafas akibat asap tebal. Mangsa juga tidak sempat keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Zulkifli memberitahu, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

150824-Klt-Pemuda Rentung-Done Online

KEBAKARAN sebuah rumah menyaksikan seorang pemuda ditemukan mati dalam kejadian di Lorong Nimar 500, Taman Mas, Tanah Merah, Kelantan.

-habis-

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN